Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-106 di sini, hari ini menetapkan penduduk negara ini yang terbunuh ketika berjuang bersama kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria, tidak tergolong syahid dan hanya mati sia-sia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu juga dipersetujui seluruh ulamak di seluruh dunia.

Beliau berkata, segelintir masyarakat Islam di negara ini masih keliru berhubung konsep jihad dan syahid yang sebenar.

"Kefahaman yang dipegang golongan berkenaan tidak selari dengan syarak. Majlis Fatwa merumuskan hasil kajian dijalankan dan hujah berasaskan nas syarak mengenai jihad bersama IS adalah perbuatan sia-sia dan tidak diketegorikan sebagai syahid sekiranya mereka mati ketika berperang.

"Malah, semua ulamak di seluruh dunia sepakat mengenainya dan keputusan secara terperinci mengenai isu IS akan dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa sebagai panduan kepada seluruh umat Islam di negara ini," katanya selepas Majlis Multaqa' Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia 2014, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 6:37 PM