Kuala Lumpur: Tiada keperluan khas untuk menfatwakan seseorang Islam di negara ini yang menyertai kegiatan militan di negara bergolak berikutan hukum ke atas tindakan itu jelas dilarang di dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tidak wajar untuk seseorang Islam terbabit dalam situasi berkenaan, sebaliknya perbuatan berjihad boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk.

"Hukum sudah ada, tidak boleh dan tidak wajar untuk orang Islam terbabit dalam keadaan tersebut.

"Jadi, tidak perlu untuk Majlis Fatwa Kebangsaan berbincang, malah ulamak daripada kebanyakan negara bergolak iaitu Syria dan Iraq turut mengharamkan rakyat berjihad di negara bergolak melalui kumpulan militan.

"Dalam konteks perjuangan berjihad, tidak semesti dalam bentuk perang semata-mata.

"Pada hari ini, jihad boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk yang luas untuk membantu orang Islam termasuk sumbangan derma, pendidikan, pakaian dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Pakaian Persekolahan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar ini, semalam, mengenai kegiatan usaha merekrut gadis Malaysia menyertai kumpulan militan di Syria yang kononnya atas dasar jihad.

Kegiatan yang dibuat melalui laman sosial Facebook itu dilihat semakin agresif apabila ia turut dikesan cuba merekrut pelajar sekolah.

Jamil berkata, pihaknya meminta orang ramai supaya peka mengenai kegiatan merekrut itu dan merujuk kepada pihak agama terlebih dahulu sekiranya ingin memperjuangkan jihad.

Keterangan gambar

Jamil bersama sebahagian penerima bantuan kelengkapan persekolahan

tamat///

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:11 AM