Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kajang: Masyarakat diingatkan supaya tidak salah faham mengenai konsep jihad kumpulan militan kerana ia bukanlah ‘jalan pintas’ untuk mendapat ganjaran pahala yang besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, salah faham itu jika tidak dijelaskan dengan betul boleh menyebabkan masyarakat mudah terpengaruh dan akhirnya terjebak dengan ajakan menyertai kumpulan tertentu atas tiket untuk berjihad.

Kata beliau, keadaan itu bukan tertumpu kepada lelaki saja kerana golongan wanita juga mudah dipengaruhi.

“Biasanya ia bermula dengan perbualan biasa di laman sosial sebelum melangkah ke fasa perkenalan yang lebih rapat.

“Lama-kelamaan perhubungan itu bertukar sayang hingga tidak sanggup untuk menolak ajakan jihad ‘kumpulan jihad’ berkenaan.

“Perasaan itu kemudian boleh mendorong mereka meninggalkan keluarga, pekerjaan dan sebagainya semata-mata kerana tertarik dengan pujukan kumpulan terbabit,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Multaqa Iman, Jawatankuasa Masjid, Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Guru Takmir Peringkat Negeri Selangor di Kolej Islam Antarabangsa (KUIS) di sini, semalam.

Menurut Jamil Khir, salah faham itu antara cabaran yang dihadapi masyarakat moden hari ini, namun tidak boleh dianggap sebagai ancaman glokal kerana ia sebenarnya adalah masalah global.

Katanya, jika tidak ditangani, ia boleh menjadi fenomena seperti gerakan Negara Islam (IS) atau Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Untuk itu, Jamil Khir berkata, Imam, ahli jawatan kuasa masjid (AJK), guru KAFA dan guru Takmir perlu memainkan peranan masing-masing dalam menerangkan fakta yang sebenar kerana kerana mereka adalah golongan barisan depan yang berada di tahap akar umbi masyarakat.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk ‘memasjidkan masyarakat dan memasyarakatkan masjid’ iaitu memantapkan fungsi masjid supaya dapat memenuhi keperluan semasa masyarakat.

“Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengharapkan kerjasama dan kombinasi baik antara jawatankuasa dan pegawai masjid dalam mengimarahkan masjid selaras dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan Islam di negara ini.

“Dengan adanya majlis Multaqa seperti ini dapat menjadi platform terbaik untuk menjelaskan mengenai isu-isu terkini membabitkan agama sekali gus bersama mencari pendekatan yang wajar untuk menangani cabaran berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 10:21 AM