Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah harus mengikut hukum syarak selagi mana terdapat keperluan dan masalah untuk negara dan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, walau bagaimanapun pelaksanaan cukai baru itu hendaklah berpandukan enam parameter syarak.

Beliau berkata, enam paramerer itu adalah kerajaan komited melaksanakan syariat Islam; kerajaan memerlukan sumber kewangan; cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiat seperti memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah.

"Justeru, tidak tepat sekiranya terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa keputusan yang telah dibuat oleh muzakarah terhadap isu GST adalah berdasarkan hujah longgar dan tidak menepati hukum syarak kerana bersandarkan kepada maslahah," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Katanya, istilah maslahah dalam konteks keharusan GST perlu difahami dalam konteks yang luas dalam hukum fiqh iaitu maslahah dharuriyat dan hajiat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 1:16 PM