BAHAGIAN Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM melumpuhkan aktiviti kumpulan pengganas di Malaysia.
BAHAGIAN Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM melumpuhkan aktiviti kumpulan pengganas di Malaysia.

Pembaca budiman. Beberapa bulan lalu, negara kita dikejutkan dengan berita seorang rakyat Malaysia menjadi pengebom berani mati kumpulan militan Negara Islam atau IS di Iraq. Ini adalah kali pertama seorang rakyat Malaysia bertindak sedemikian. Dalam insiden itu, anak muda terbabit merempuh ibu pejabat pasukan keselamatan Iraq di wilayah Anbar dengan sebuah SUV yang dimuatkan dengan bahan letupan, menyebabkan 25 anggota pasukan tentera elit Iraq terbunuh. Pada usia muda 26 tahun, beliau sepatutnya membantu menyara keluarga, tetapi sebaliknya memilih untuk melakukan tindakan sia-sia dan bertentangan ajaran Islam.

Selain anak muda terbabit, empat lagi rakyat Malaysia sudah terbunuh di Syria pada tahun ini. Bilangan ini dikhuatiri meningkat kerana seramai 39 rakyat Malaysia dikenal pasti sedang berada di Syria dan 40 lagi mungkin menerima nasib yang sama sekiranya pihak berkuasa tidak menahan mereka. Kerajaan Malaysia amat bimbang dengan penularan pengaruh kumpulan militan IS ini dan akan terus berusaha untuk mengekang aktiviti keganasan sebegini daripada menghancurkan negara.

Pada April tahun ini masyarakat antarabangsa khususnya agensi keselamatan dan perisikan mula menyuarakan kebimbangan berhubung ancaman kumpulan militan IS terhadap rantau Timur Tengah dan global. Ini ekoran kejayaan IS menawan beberapa wilayah di Iraq dan Syria serta mempertingkatkan usaha menarik rekrut baru dalam kalangan umat Islam seluruh dunia. Dunia resah dengan tindakan kejam kumpulan IS ke atas musuh mereka, sama ada daripada kalangan bukan Islam ataupun orang Islam sendiri yang dilihat tidak menyokong perjuangan mereka ataupun pihak yang didakwa mereka sudah sesat. Keresahan ini memuncak dengan penyembelihan seorang warga Amerika Syarikat, Peter Kassig pada 16 November lalu walaupun beliau sudah memeluk Islam dan menukar nama kepada Abdul Rahman.

Agensi keselamatan antarabangsa amat bimbang dengan pembabitan 15,000 foreign fighters dari lebih 80 negara dalam konflik di Syria di mana majoritinya menyertai kumpulan pengganas IS. Kebimbangan mengenai pembabitan foreign fighters ini menjadi kenyataan apabila terdapat beberapa insiden serangan lone wolf yang dilancarkan oleh individu yang pernah menyertai kumpulan IS di Syria seperti serangan di Belgium, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Sejak konflik di Syria bermula pada Mac 2011, Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, sudah mula memantau aktiviti individu dan kumpulan tertentu di Malaysia yang menunjukkan kecenderungan untuk terbabit dalam gerakan militan di Syria, kononnya atas kewajipan jihad. Langkah proaktif ini membawa kepada terkesannya aktiviti sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Tandzim Al-Qaeda Malaysia (TAQM) pada pertengahan 2012. TAQM dipimpin Yazid Sufaat, bekas anggota kanan Jemaah Islamiah (JI) yang pernah menjalani hukuman Perintah Tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960 selama lapan tahun kerana terbabit dalam aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara.

Dua anggota TAQM ditangkap pihak berkuasa Lubnan pada 12 Oktober 2012 ketika cuba menyusup masuk ke Syria, sementara seorang lagi individu Noor Fikrie ditembak mati dalam satu insiden untuk melancarkan serangan bunuh diri di Davoa City, selatan Filipina pada November 2012. Operasi Bahagian Counter Terrorism ke atas sel TAQM yang dilancarkan pada Februari 2013 juga membawa kepada tangkapan pertama, tiga suspek di bawah undang-undang baru, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960 atau ISA. Ketiga-tiga suspek didakwa di mahkamah pada 28 Mei 2013 dan sedang menunggu perbicaraan.

Ketika tangkapan pertama ini dilaksanakan, terdapat pihak tertentu yang mempertikaikan tindakan PDRM menangkap suspek berkenaan kerana beranggapan tindakan mereka hanyalah atas dasar membantu saudara Islam yang ditindas di Syria. Namun, PDRM melihat pembabitan rakyat Malaysia dalam konflik bersenjata di luar negara sebagai sesuatu yang boleh mengancam keselamatan negara dan memberi imej negatif kepada Malaysia. Ternyata tindakan PDRM mengambil langkah proaktif membanteras kumpulan militan tempatan yang terbabit dalam aktiviti merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai konflik di Syria sejak awal 2013, mendahului lain-lain negara yang hanya mula mengambil tindakan menyekat dan mencegah pembabitan rakyat mereka dalam konflik di Syria pada pertengahan tahun ini.

Dari awal lagi PDRM menyedari ideologi Salafi Jihadi yang dipegang kumpulan IS adalah sama dengan ideologi kumpulan militan yang beroperasi di Malaysia sebelum ini seperti JI, Darul Islam, Abu Sayyaf Group (ASG), Al-Qaeda dan lain-lain yang beroperasi di peringkat antarabangsa. Ini mendorong PDRM mengambil langkah awal untuk menbendung dan membanteras sebarang usaha merekrut lebih ramai rakyat Malaysia menyertai kumpulan terbabit.

Selepas berjaya membanteras kumpulan TAQM, Bahagian Counter Terrorism terus mencapai beberapa lagi kejayaan dalam operasi susulan ke atas kumpulan kecil lain yang turut merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai kegiatan IS di Syria. Operasi susulan sejak April sehingga November 2014 sudah membawa kepada penangkapan sebilangan suspek yang ada kaitan dengan rancangan untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria khususnya IS. Seramai 22 daripada mereka sudah pun dituduh di mahkamah dan sedang menunggu perbicaraan.

Segelintir rakyat Malaysia percaya penyertaan mereka dalam konflik di Iraq dan Syria adalah untuk memperoleh syahid kerana menganggap perang di dua negara itu menjanjikan syurga sedangkan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-106 merumuskan penyertaan umat Islam Malaysia dalam kumpulan pengganas IS di Iraq dan Syria bertentangan dengan hukum syarak dan kematian mereka tidak sekali-kali dikategorikan sebagai mati syahid. Ini berlandaskan perbuatan ganas kumpulan IS yang menyeksa, membunuh dan melakukan kekejaman sesama manusia tidak kira agama, kaum atau mazhab yang dianuti.

Segolongan kecil rakyat Malaysia yang menyahut seruan IS terpengaruh dengan dakyah IS bahawa peperangan di Syria ketika ini dianggap menjurus kepada peperangan akhir zaman yang dikenali sebagai peristiwa Malhamah Kubra. IS mengeksploitasi ayat al-Quran dan hadis mengenai peristiwa itu untuk menarik sokongan sehingga menyebabkan ramai yang terpengaruh, sedangkan peperangan ini adalah sesama Islam yang didorong oleh pertembungan politik dan konflik sektariat semata-mata.

Malaysia berhadapan dengan risiko ancaman keselamatan dari elemen IS yang kembali ke tanah air dengan membawa pulang bersama mereka ideologi perjuangan, kemahiran berperang serta latihan yang sudah diterima. Dengan jaringan ukhuwah dalam kalangan elemen pengganas antarabangsa yang terbentuk semasa berjuang di Iraq dan Syria, mereka dikhuatiri akan mengambil peluang untuk melancarkan serangan di Malaysia atau setidak-tidaknya di negara-negara lain seperti yang diarahkan oleh pucuk pimpinan IS. Maklumat yang diperoleh PDRM mendedahkan perancangan mereka untuk melancarkan serangan bom ke atas pusat hiburan di Kuala Lumpur, kilang minuman keras di Selangor dan Putrajaya. Risiko lain termasuk persepsi dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menghasilkan pengganas. Tambahan pula, penyertaan rakyat Malaysia dalam konflik di Iraq dan Syria mampu mengeruhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara tertentu.

Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia terutama golongan belia dan ibu bapa supaya menolak ideologi ekstrem yang boleh merosakkan masa depan kita semua. Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini tidak ternilai dan harus terus dipelihara. Kerajaan sudah mengambil pendekatan yang bijak dengan membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan IS’ di Parlimen baru-baru ini untuk menjelaskan dengan lebih mendalam mengenai IS dan ancamannya kepada keselamatan negara, berserta cadangan penggubalan satu undang-undang khusus serta pemerkasaan akta sedia ada.

Selain undang-undang, rakyat perlu bersama kerajaan menolak sebarang ideologi ekstrem dan yakin bahawa konsep wasatiyyah adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia sebagai negara berbilang kaum. Pada masa sama, kita harus mempergiatkan usaha dan komitmen untuk menyokong kerajaan menangani ancaman berkenaan.

Malaysia akan terus komited untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa menangani ancaman radikalisme, ekstremisme, pengganas dan militan, malah saya amat berharap rakyat akan sama-sama menyokong kerajaan untuk melaksanakan dasar dan segala inisiatif ke arah menangani ancaman kumpulan militan IS.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:50 AM