BKAY (lima dari kiri) pada Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa di  Kompleks Kraf Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
BKAY (lima dari kiri) pada Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Najiy Jefri


Hasrat pelakon Ratu The Movie, Bkay Nair untuk memperkenalkan Saree Malaysia menerusi kain jenis batik, sutera dan songket berjaya diterjemahkan dalam sebuah acara pertunjukan fesyen yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Bkay, idea yang dibawakan bukan hanya melambangkan warisan budaya Malaysia, malah mencerminkan sejarah dan tradisi yang kaya di negara ini.

"Negara kita belum ada sari ciptaan Malaysia. Kebanyakan sari yang dijual di negara ini diimport dari India.

"Jadi, timbul satu idea untuk saya memperkenalkan sari buatan Malaysia yang menggunakan kain jenis batik, songket dan sutera, sekali gus menjadi lambang kebanggaan di negara ini.

"Menerusi Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa anjuran Bkay Nair Resources ini, saya membawakan lapan pereka fesyen terkenal untuk menampilkan koleksi rekaan sari yang dihasilkan dengan teliti daripada batik, songket dan sutera Malaysia.

"Program ini juga acara antara usaha untuk mencipta platform bagi pereka fesyen untuk mempamerkan kreativiti mereka dengan menggabungkan tekstil tradisional dalam fesyen moden," katanya.

Menurut Bkay, pihaknya turut teruja apabila acara yang diadakan turut mengangkat tiga pereka fesyen yang berjaya mencapai objektif Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa.

MAHU angkat fabrik tradisional selain intai pengiktirafan Unesco menerusi Saree Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad
MAHU angkat fabrik tradisional selain intai pengiktirafan Unesco menerusi Saree Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad

Bagi Anugerah Pereka Baharu yang memberi peluang kepada pelajar fesyen dimenangi Naresh Yempati manakala Anugerah Pereka Paling Kreatif untuk meraikan pereka senior yang imaginatif menjadi milik Kesheen Ragunathan.

Sementara itu, Anugerah Keunggulan Warisan Malaysia yang diberikan kepada pereka senior dengan rekaan warisan Malaysia pula dimenangi oleh Munir Yahya.

"Melalui acara ini, kami berharap dapat membawa keunikan warisan kami kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Pengiktirafan yang diberikan Unesco berpotensi untuk menerangi harta seni dan budaya negara kita di peringkat global dan mempersembahkan kepada ibu kota fesyen terkenal seperti Paris dan seluruh Eropah.

"Kami ingin menonjolkan keunikan tekstil Malaysia, memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan seni dan budaya ke peringkat global," katanya.

Acara yang dibawakan turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (Motac) dan Tourism Malaysia serta pelbagai rakan kerjasama.

Acara itu dihadiri Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan; Pengarah Kanan Pelancongan Malaysia Wilayah Tengah, Sufian Zainuddin dan Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dasar (Kebudayaan Motac), Datin Salida Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 6:05 AM