JULINDA (kanan) tekun berbincang dengan Nik Nor Ashahani mengenai pakaian yang ditempah pelanggan masing-masing.
JULINDA (kanan) tekun berbincang dengan Nik Nor Ashahani mengenai pakaian yang ditempah pelanggan masing-masing.
NIK NOR ISHAHANI bersama pakaian yang dibeli di butik Minaz .
NIK NOR ISHAHANI bersama pakaian yang dibeli di butik Minaz .
JULINDA pembeli peribadi tegar memilih jubah yang ditempah pelanggan.
JULINDA pembeli peribadi tegar memilih jubah yang ditempah pelanggan.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Siapa sangka dalam zaman teknologi ini banyak peluang kerjaya baru muncul yang memperlihatkan penggunaan telefon genggam serta aplikasi laman sosial Instagram mengambil alih dunia pengiklanan dan pemasaran.

Jika dulu pembeli peribadi atau personal shopper hanya wujud di luar negara, tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini menyaksikan kerjaya ini semakin mendapat perhatian di Malaysia sama ada dilakukan secara sambilan atau sepenuh masa. Malah, ia tidak lagi terhad kepada segmen barangan dapur atau perhiasan rumah, tetapi membabitkan penataan fesyen dan gaya.

Dengan kehadiran banyak butik dalam talian dan juga fizikal menjadikan kerjaya ini semakin mendapat perhatian. Siapa yang tidak mahu membeli-belah pada masa yang sama mendapat duit tambahan. Malah, dengan jumlah kiriman yang banyak daripada pelanggan mereka mampu menggunakan pendapatan ini untuk menyara keluarga dan membeli barangan keperluan sendiri.

Bagi tiga pembeli peribadi tegar Julinda Mattuju, 34, Nik Nor Ishahani Ishak, 22, dan Betty Julia Baharom, 34, selain menerima pendapatan lumayan hasil kiriman pelanggan, mereka mengakui kini wang bukan lagi dianggap keutamaan sebaliknya memenuhi keinginan dan melihat kegembiraan pelanggan adalah kepuasan yang sukar digambarkan.

Memulakan kerjaya sebagai pembeli peribadi pada 2013, ibu kepada dua cahaya mata Julinda Mattuju, 34, menjelaskan minat untuk menjadi pembeli peribadi tercetus apabila kakaknya yang gemar berfesyen memintanya membelikan gaun labuh yang dijual di salah sebuah butik di Bangi. Dia yang langsung tidak tahu mengenai kewujudan butik dalam talian ini terus membuka akaun Instagram peribadi untuk melihat jenama yang dikatakan kakaknya itu.

“Selepas mendaftar barulah saya tahu begitu banyak butik mempromosikan jualan menerusi dalam talian. Malah, ia lebih hebat dan rancak berbanding promosi di luar. Namun, ada butik yang tidak menjual produknya menerusi dalam talian dan pelanggan perlu mendapatkannya di butik fizikal saja. Dengan itu mereka perlu membeli menerusi pembeli peribadi yang menjalankan perkhidmatan ke seluruh Malaysia,” katanya.

Menerusi kiriman kakak dan beberapa rakan Julinda turut mengiklankannya di Instagram. Tidak sangka ramai memberikan maklum balas positif untuk mengirimkan pesanan. Apabila setiap daripada mereka memasukkan wang ke dalam akaun dengan tambahan bayaran untuk proses penghantaran dia mula terfikir mengapa tidak dijadikan sebagai kerjaya sambilan.

Tambahan pula dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kos hidup yang tinggi di bandar besar, dia berasakan perlunya satu kerjaya sambilan untuk menjana kewangan pada masa sama memberikan kepuasan.

Sebagai pembeli peribadi Julinda perlu prihatin pada setiap jualan murah atau pembukaan butik baru di satu-satu kawasan. Kemudian mengiklankan di laman Instagram. Selepas mengambil pesanan yang akan dicatatkan dalam satu buku khas perkara paling penting ialah memastikan pelanggan membayar kiriman mereka termasuk bayaran tambahan.

Sejak itu bermulalah aktivitinya setiap hari. Pantang ada saja jualan murah di butik saya tidak melepaskan peluang mengiklankannya. Telefon genggam memang tidak lekang dari tangan sama ada di tempat kerja atau di rumah. Selepas habis waktu kerja dia sekeluarga terus ke butik untuk mendapatkan kiriman pakaian.

“Perkara paling penting dan mencabar adalah memastikan sampai awal di butik. Ini perlu agar saya dapat membeli semua yang dikirim pelanggan. Misalnya ketika pembukaan butik Minaz di Johor Bahru saya tiba seawal jam 3 pagi dan menunggu bergilir-gilir dengan suami untuk bersolat dan makan.

“Ini kerana pesanan yang saya ambil terlalu banyak melebihi 100 pasang baju untuk 128 pelanggan dengan jumlah pembelian melebihi RM15,000. Mujur saya dibantu pekerja butik yang memberikan kerjasama cukup baik bagi menyediakan semua kiriman yang diminta,” katanya yang turut menjadi pembeli peribadi untuk jenama lain seperti Radiusite, Bella Ammara, Cala Qisya dan Sugarscarf .

Agar perkhidmatan­nya mendapat kepercayaan pelanggan, Julinda sentiasa berhubung dengan mereka menerusi Instagram ps-lynnlynda.mer dan aplikasi WhatsApp supaya tidak berlaku salah faham dalam pembelian. Dia juga pantas menguruskan semua kiriman dengan menghantar barang pada hari yang sama sekiranya pembelian dilakukan pada waktu pagi. Ini kerana dia tidak mahu menunggu lama dan membiarkan pelanggan ternanti-nanti.

“Biasanya selepas membeli barang, saya akan ­berehat selama dua atau tiga jam sebelum bangun pada jam 3 pagi untuk pembungkusan. Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat memahami dan turut sama membantu membawa saya dan anak-anak sekiranya berada di luar Kuala Lumpur,” katanya yang bertugas di salah sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur.

Kini pendapatan yang diperoleh sebagai pembeli peribadi membuatkan dia mampu menampung perbelanjaan keluarga membawa anak-anak pergi bercuti.

Guna duit sara belajar

Pelajar jurusan ijazah sarjana muda ekonomi dan perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nik Nor Ishahani Ishak, 22, mula menjadi pembeli peribadi pada 2014 lalu. Mulanya dia membeli sehelai gaun di butik dan memuatnaik gambar di Instagram. Tidak sangka selepas lima minit ramai memberikan komen positif dan bertanyakan di mana mendapatkannya.

“Lalu saya membuka kiriman kepada pengikut Instagram saya. Tidak sangka dalam masa satu jam saya mampu mengumpul sebanyak 20 pasang baju. Mereka pula tidak kisah membayar harga baju serta bayaran tambahan dikenakan. Lalu saya terfikir dengan hanya mengambil kiriman dan menghantar pakaian menerusi pos, saya mampu menjana pendapatan sampingan bergantung kepada kerajinan,” katanya.

Sejak itu Ishahani mengikuti perkembangan butik popular dan mengemaskini di laman Instagramnya. Setiap kali ada jualan murah, pelancaran rekaan terkini atau pembukaan butik baru dia antara orang pertama tiba bagi memastikan semua pesanan diperolehinya.

Seorang yang suka bergaya dan mengikuti perkembangan fesyen semasa, akuinya sebagai pembeli peribadi dia bukanlah semata-mata hanya mendapatkan produk idaman pelanggan sebaliknya turut menjadi perunding peribadi mereka. Sering melihat rekaan di butik sehinggakan dia sudah arif mengenai rekaan dan potongan.

“Setiap butik menyediakan rekaan dan potongan berbeza. Bagi pembeli yang tidak pernah melihat atau memegang pakaian secara langsung pasti tidak tahu jenis potongan sesuai untuk mereka. Sebagai pembeli peribadi saya akan memberikan pendapat mengenai ukuran baju bersesuaian ketinggian dan berat badan mereka. Jadi baju yang akan diterima bukan saja sepadan, tetapi disukai pelanggan,” katanya yang menggunakan nama ps.ishahani untuk mempromosikan perkhidmatan di Instagram.

Ishahani bersyukur kerana mendapat galakan ibunya yang sanggup meminjamkan kereta untuk membuat pembelian. Malah, ada kalanya ibu sanggup menemaninya ke butik.

Ditanya pendapatan diperoleh menerusi kerjaya sambilan ini, dia memberitahu ia bergantung kepada jumlah butik disertainya serta kekerapan setiap butik membuat jualan murah atau memperkenalkan rekaan terbaru mereka. Untuk sekali pembelian biasanya dia memperoleh sekitar RM300 hingga RM800 yang cukup untuk menampung perbelanjaan di kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 11:22 AM