BETTY bersama koleksi beg tangan dan kasut yang dikirim pelanggan.
BETTY bersama koleksi beg tangan dan kasut yang dikirim pelanggan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Bermula hanya sekadar suka-suka mengambil pesanan daripada rakan yang memintanya membelikan beg tangan berjenama mewah ketika melancong ke luar negara, lama-kelamaan Betty Julia Baharom, 34, merasai keseronokan. Ini kerana dia bukan saja

dapat melihat negara orang, tetapi mampu membeli barangan mewah yang selama ini tidak pernah diimpikannya.

“Pada mulanya saya iklankan kepada rakan terdekat yang ingin mendapatkan beg tangan dan kasut berjenama mewah yang dijual di luar negara. Lama-kelamaan timbul keseronokan setiap kali melihat kegembiraan rakan yang berjaya mendapatkan barangan idaman mereka pada harga lebih murah. Selepas itu saya mula membeli beg tangan menerusi dalam talian dan menjualnya di blog,” katanya.

Bukan itu saja kegilaan menulis blog dan merakamkan setiap peristiwa yang berlaku di luar negara untuk tatapan pembaca menyebabkan blognya menjadi tumpuan ramai. Pada masa sama ketika membeli-belah dia mengambil gambar koleksi terbaru beg tangan dan memuat naik di laman sosial Facebook. Tidak sangka ramai memberikan maklum balas positif dan ingin mengirimnya.

Kemuncak kepada kerjaya pembeli peribadi sepenuh masa apabila dia mula mengambil pesanan untuk jenama mewah dari Eropah seperti Chanel, Prada, Gucci, Louis Vuitton yang menyebabkan dia terpaksa berulang-alik ke Paris setiap bulan. Tidak menetapkan sebarang tempoh dan membuka kiriman sepanjang masa menyebabkan ibu kepada empat cahaya mata ini tidak menang tangan melayan kiriman pelanggan sehingga mengganggu tugasan harian di pejabat.

“Selepas berbincang dengan suami mengenai baik buruknya berhenti kerja, pada 2014 saya melepaskan jawatan di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang lumayan untuk menjadi pembeli peribadi sepenuh masa. Walaupun mulanya suami tidak bersetuju, tetapi memandangkan pendapatan diperoleh melebihi gaji setiap bulan dia mula memberi keizinan. Malah, suami turut sama membantu mencarikan beg pelanggan atau dalam keadaan tertentu dia pula yang membelinya di luar negara,” katanya.

Hampir lima tahun menjadi pembeli peribadi perkara paling sukar adalah mendapatkan kepercayaan pelanggan. Ini kerana harga untuk satu barangan berjenama di antara RM10,000 hingga RM20,000. Bagi pembeli tentunya jumlah ini sangat besar dan memerlukan keberanian untuk memberikan duit itu kepada orang yang tidak dikenali.

“Apa yang saya lakukan adalah memuat naik gambar ketika berada di lokasi membeli-belah. Pada masa itu juga saya mendapat banyak kiriman menerusi gambar yang dimuat naik di Instagram. Ini secara tidak langsung membina keyakinan dan kepercayaan pelanggan yang saya membeli barangan original bukannya tiruan,” katanya yang sering membuat penghantaran terus ke rumah terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang. Ini bagi menjaga hati pelanggan selain mewujudkan kepercayaan dengan mereka.

Dia juga membuat sistem pembelian tersendiri bagi mengelak penipuan. Untuk setiap kiriman yang sudah dipersetujui Betty menetapkan bayaran deposit separuh harga manakala selebihnya dijelaskan selepas penghantaran. Dia juga membuat bayaran secara ansuran dan pelanggan perlu menjelaskan semua bayaran sebelum barang diberikan.

Jika barang dikirim tiada stok seboleh-bolehnya Betty berusaha mencari rekaan berbeza, namun akan mengirimkan gambar kepada pelanggan terlebih dulu jika pelanggan berminat. Jika sebaliknya deposit itu akan dipulangkan semula.

Jelas Betty, dengan kemajuan dan perkembangan teknologi maklumat ia memudahkan proses pemasaran. Jika dulu Facebook digunakan untuk mempromosikan barangan, tetapi kini kehadiran Instagram menjadikan proses membeli-belah lebih mudah, ringkas dan sangat fleksibel.

“Sejak menggunakan Instagram menerusi mystylostyle pengikut semakin bertambah setiap hari. Dengan jumlah 10,700 pengikut, saya terpaksa berulang-alik ke Paris sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sebulan semata-mata membeli beg tangan kiriman pelanggan. Antara yang menjadi kegemaran ramai adalah jenama Chanel dan Louis Vuitton disebabkan harga yang berbeza berbanding butik di Malaysia,” katanya.

Ditanya berapakah harga beg paling mahal yang pernah dikirim pelanggan, dengan senyuman penuh makna dia memberitahu beg tangan Hermes bernilai RM26,000 yang dikirim daripada pengumpul beg tangan mewah di sini. Beg tangan ini juga paling sukar diperoleh kerana ia hanya dikeluarkan dalam satu negara saja dan harganya sangat mahal.

Mujur Betty berjaya membelinya ketika berkunjung ke Zurich, Switzerland. Dia juga pernah membeli beg tangan dengan jumlah pembelian bernilai RM200,000 untuk sekali kiriman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 11:16 AM