PAKAIAN tidak melekap pada tubuh, sesuai digayakan Muslimah.
PAKAIAN tidak melekap pada tubuh, sesuai digayakan Muslimah.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Aliran fesyen masa kini membawa perubahan besar bukan saja dari segi bahan, malah rekaan busana turut menjadi elemen utama yang dititikberatkan oleh pemakai.

Rekaan moden, tapi minimalis tetap menjadi pilihan untuk wanita muda kerana di samping mahu tampil ringkas, busana sebegini sesuai dijadikan pilihan ke pejabat mahupun santai.

Perkara itu diakui pe­ngasas Bajuville, Nor Hasna Mohd Fauzi yang mahu wanita terutama Muslimah tampil menarik namun me­ngekalkan kesederhanaan dalam berpakaian.

Katanya, koleksi sedia dipakai rekaannya ringkas bersesuaian dengan gaya hidup wanita moden, malah rekaan itu berdasarkan matlamatnya iaitu sesuatu yang akan digayakannya sendiri dan diterima ramai dalam jangka masa panjang.

Bagi Nor Hasna, fesyen mesti selesa dipakai dan praktikal, malah pemilihan fabrik juga mesti sesuai dengan iklim tempatan.

Oleh itu, fabrik kapas menjadi pilihannya dalam kebanyakan rekaan kerana selain ringan, ia menyerap peluh dan tidak melekap pada tubuh menjadikannya sesuai digayakan Muslimah.

“Saya amat mementingkan kualiti jahitan dan penggunaan fabrik pula mesti selesa. Ini kerana menerusi pengalaman sendiri sebagai pembeli, sudah banyak kali ‘terkena’ dengan kualiti yang mengecewakan tapi dijual dengan harga mahal dan tidak munasabah.

“Jadi saya nekad me­ngeluarkan koleksi pakaian yang sepadan dengan harga pembeli. Setakat ini, ramai yang berpuas hati dengan kualiti ditawarkan. Sudah menjadi tanggungjawab sebagai pengusaha untuk meletakkan keselesaan sebagai ciri paling utama diikuti rekaan sopan dan praktikal,” katanya.

Menurutnya, butik itu diasaskan bersama adiknya tiga tahun lalu dan pada peringkat permulaan hanya sekadar mencuba nasib.

Namun dia sama sekali tidak menjangkakan sambutan dan penerimaan positif oleh pelanggan hingga tidak menang tangan walaupun pada peringkat permulaan dia hanya menempah kurang 20 helai baju rekaannya.

Keluaran pertama butik itu iaitu kardigan kimono dengan rekaan ringkas membuahkan hasil terutama ketika itu, fesyen berkenaan sedang meningkat naik.

Nor Hasna berkata, dia tergerak menghasilkan rekaan pakaian kasual kerana di pasaran ketika ini banyak pakaian seumpama itu di­import dari China yang tidak mesra aurat.

Dia kemudiaannya terus mengembangkan pilihan dalam butiknya dengan menghasilkan busana kasual yang tidak nampak terlalu formal sesuai digayakan sebagai pakaian harian.

Antara koleksi yang paling diterima ramai ialah kurta dan seluar tapered kerana rekaan ringkas yang boleh dipakai harian dengan pilihan warna yang keba­nyakannya berona tanah dan mudah disuai padan.

Bagi pilihan material pula, Bajuville banyak menggunakan fabrik kapas terutama koleksi baju kerana berse­suaian dengan cuaca di negara ini, selesa dan menyerap peluh, manakala untuk koleksi seluar, fabrik crepe menjadi pilihan memandangkan ia tidak jarang dan senang dijaga.

“Alhamdulillah kini sambutan bukan saja dalam kalangan wanita tempatan, malah juga dari luar negara terutama Singapura,” katanya.

Koleksi Bajuville boleh didapati dengan harga berpatutan antara RM49 hingga RM79 setiap helai dan menurut Nor Hasna, butik itu juga sering me­ngadakan jualan murah untuk menghargai pelanggan setia mereka.

Meskipun setakat ini butik itu beroperasi sepenuhnya dalam talian, Nor Hasna turut menyimpan impian untuk memiliki butik fizikal sendiri dan terus bersaing dalam industri pakaian.

Koleksi ini boleh didapati menerusi laman web www.bajuville.com atau Instagram @bajuville.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 10:43 AM