KELAINAN ditampilkan menerusi cawangan butik vendor pertama pereka terkenal di Bangi Sentral.
KELAINAN ditampilkan menerusi cawangan butik vendor pertama pereka terkenal di Bangi Sentral.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Kehadiran butik vendor yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli menandakan keterbukaan pelanggan menerima kepelbagaian fesyen masa kini. Dari sudut yang lain, ia membantu usahawan khususnya Bumiputera memajukan perniagaan yang kebanyakannya bermula secara dalam talian.

Tanpa menggunakan modal besar, golongan ini mampu menyediakan padanan di butik menerusi kadar sewa yang rendah dan ia semestinya cukup memberikan keyakinan dan semangat kepada pengusaha untuk terus memberikan yang terbaik dalam penghasilan rekaan.

Ingin memberikan kelainan menerusi butik vendor pereka terkenal, Rico Rinaldi membuka cawangan butik vendor pertama Physicon di Bangi Sentral dengan mengetengahkan 40 jenama wanita dan lima lelaki dengan memberikan sedikit perbezaan apabila mencampurkan semua jenis jenama mengikut kategori pakaian.

Jelasnya, jika selama ini di semua butik vendor pakaian diasingkan mengikut jenama, tetapi dia menghasilkan sistem tersendiri bagi memberikan kesenangan kepada pelanggan memilih padanan yang mereka inginkan. Ia juga sebagai satu persaingan sihat serta semangat kepada pemilik label yang pakaian mereka mempunyai kualiti yang sama dengan jenama lain.

Physicon tidak hanya memberikan tumpuan kepada busana Muslimah sebaliknya menyediakan pakaian kasual termasuk rekaannya sendiri, Just Rinaldi.

“Ketika berkunjung ke Primark, London saya terpesona dengan ilham rekaan butik serta penyediaan padanan yang pelbagai di tempat yang sama. Sejak itu, saya merancang memiliki butik vendor yang tidak hanya memberi tumpuan kepada busana Muslimah, tetapi kasual ke pejabat juga untuk lelaki. Apa yang saya inginkan agar pelanggan boleh membeli di bawah satu bumbung pada harga di bawah RM200,” katanya.

Mempunyai misi tersendiri, Rico yang berpengalaman dalam bidang rekaan menjelaskan matlamatnya bukan semata-mata untuk menghasilkan label sendiri sebaliknya membantu usahawan yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan. Justeru, dia turut berkongsi idea mengenai fabrik, kualiti jahitan dan potongan kepada jenama di bawah Physicon.

“Alhamdulillah sebagai mentor, beberapa jenama di bawah Physicon berhasil meningkatkan pendapatan jualan bermula RM1,000 kepada RM5,000 sebulan. Walaupun tidak ketara, ia cukup menambah semangat mereka. Kami sama-sama berbincang dan mengkaji kesilapan. Sebagai pemilik butik vendor saya bukan hanya mengambil sewa sebaliknya sama-sama memperbaiki kekurangan diri,” katanya.

Selain itu, setiap pakaian mempunyai sistem keselamatan sensor bagi mengelak berlaku kecurian. Walaupun kos

diperlukan sangat tinggi, ia penting bagi memastikan profesionalisme serta jaminan kepada semua produk di bawah Physicon.

Physicon yang bermaksud Physical (butik fizikal) manakala on (online) tidak hanya menyasarkan menerusi penjualan secara terus di butik sebaliknya memberi tumpuan kepada penjualan dalam talian. Malah kebanyakan pelanggan berada di luar Kuala Lumpur dan Selangor.

Berada di Bangi Sentral, lokasi membeli-belah yang pesat membangun, Physicon dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 11 pagi sehingga 7 malam. Untuk maklumat lanjut layari www.physiconmalaysia.com atau Instagram @physiconmalaysia untuk pembelian menerusi dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:00 AM