PELUMBA bergambar sempena perasmian musim baru  Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
PELUMBA bergambar sempena perasmian musim baru Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing Norizman Ismail berharap badi yang sering menimpanya sejak tiga musim lalu tidak berulang lagi pada musim baru Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang bakal membuka tirainya di Temerloh, Pahang, 14 Mac ini.

Selepas muncul juara keseluruhan kategori CP130 pada 2011, Norizman sering tidak bernasib baik apabila hanya menduduki tempat keempat pada tahun berikutnya, sebelum muncul naib juara pada 2013 dan 2014.

Norizman dilihat berpeluang cerah kembali merampas kejuaraan pada musim lalu, namun kemalangan yang menimpanya di Kangar, Perlis membuatkan dia terpaksa menyerah kalah dan berputih mata menyaksikan Mohd Zaqhwan Zaidi dinobatkan selaku juara.

Namun, tanpa Zaqhwan yang beralih ke kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia, Norizman kembali menjadi pilihan untuk muncul juara musim ini.

“Tahun lalu nasib memang tidak menyebelahi saya kerana pada penghujung saingan, saya terjatuh dan terus berdepan dengan kecederaan.

“Justeru, tahun ini saya hanya mahu beraksi dengan konsisten dan kembali merebut takhta kejuaraan yang pernah saya menangi pada 2011.

“Walaupun Zaqhwan tiada pada musim ini, saya rasa ramai lagi pelumba baru mampu menyerlah.

“Apapun, bagi saya persaingan lebih terbuka pada musim ini. Mungkin selepas tiga atau empat pusingan, kita akan dapat lihat siapa yang lebih menyerlah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran saingan yang memasuki edisi ke-22 itu semalam.

Selain Norizman, Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing turut dibarisi Mohd Zamri Baba, Elly Idzlianizar Ilias dan Hafiz Nor Azman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 10:01 AM