AFIF sedia gegar Alor Setar.
AFIF sedia gegar Alor Setar.

Kuala Lumpur: Ahmad Afif Amran akui dia sedikit gementar menghadapi saingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2014 berdepan saingan sengit tiga penjuru bersama Norizman Ismail dan Affendi Rosli bagi memburu gelaran naib juara keseluruhan CP130 di Alor Setar, Kedah, minggu ini.

Dengan gelaran juara yang sudahpun menjadi milik Mohd Zaqhwan Zaidi dari pasukan Givi Honda Yuzy Racing, pelumba PETRONAS Yamaha-CKJ itu kini berada di tangga kedua dengan 121 mata, kelebihan 10 mata ke atas juara dua kali, Norizman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) yang turut berkongsi mata bersama Affendi.

“Perlumbaan di Alor Setar minggu ini bukan mudah apatah lagi jurang 10 mata ketika ini tidak membawa banyak kelebihan kepada saya.

“Jadi saya perlu bekerja keras dan menamatkan saingan di kelompok hadapan jika ingin menamatkan musim ini di belakang Zaqhwan,” katanya.

Katanya Norizman dan Affendi cukup berpengalaman dan mereka juga mahu memenangi perlumbaan di Kedah bagi memastikan gelaran naib juara menjadi milik mereka.

Meskipun gementar, Afif percaya dengan pengalaman sebagai pelumba rookie sepanjang musim ini dengan kejayaan di Muar dan Teluk Intan serta tiga podium di Terengganu, Melaka dan Jempol, dia mampu mengatasi cabaran dua pelumba senior itu.

“Saya fikir tidak ada sebarang masalah untuk saya mempertahankan kedudukan kedua ketika ini.

“Pengendalian jentera berada pada tahap optimum manakala pasukan pula sentiasa menyediakan jentera yang begitu kompetitif.

“Memandangkan kami belum pernah beraksi di litar ini, saya perlu mengumpul seberapa banyak data ketika latihan untuk mendapatkan pelarasan terbaik dan pada masa sama cepat menyesuaikan diri,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:10 AM