Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: Seorang anggota polis berpangkat Koperal ditahan kerana melepaskan tembakan amaran sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki dalam kejadian di Guar Nenas, Gurun, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang , mangsa, Sharul Rizal Abdul Rahim, 30, maut di hospital selepas rebah kira-kira 200 meter daripada tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, anggota terbabit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang itu ditahan di IPD Kuala Muda, kira-kira jam 7 petang, semalam.

Beliau berkata, anggota polis terbabit melepaskan tembakan amaran ke arah mangsa yang dalam keadaan mencurigakan dipercayai mahu menyamun isteri serta ibu mentuanya yang ketika itu berada di tepi jalan berhampiran kilang lama di Guar Nenas.

"Anggota polis terbabit dikatakan mahu mencari motosikalnya yang hilang di kawasan berkenaan. Dia menaiki sebuah kereta dan turut membawa bersama isteri dan ibu mentuanya. Apabila sampai di kilang berkenaan anggota terbabit mencari motosikal di kawasan sekitar dan meninggalkan isteri dan ibu mentuanya di situ.

"Mangsa yang menunggang motosikal kemudian menghampiri isteri serta ibu mentuanya. Isteri mangsa yang curiga dengan mangsa yang turut membawa sebilah parang yang dibalut dengan kain batik serta walkie talkie kemudian menghubungi suaminya.

"Anggota polis itu kemudian berpatah balik dan sempat menarik kolar baju mangsa namun dia sempat melarikan diri. Anggota terbabit kemudian melepaskan tembakan amaran menyebabkan terkena badan mangsa dan rebah kira-kira 200 meter," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Nashir berkata, anggota polis itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 3:35 PM