GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana dan Cleo Will


LELAKI yang membuat kacau dan membaling batu ke arah pengguna jalan parah ditembak ketika cuba menyerang dua anggota polis di hadapan sebuah rumah di Kampung Kinaratuan, Ranau, malam semalam.

Dalam kejadian 11.20 malam itu, suspek berusia 40 tahun parah di bahagian lulut kaki kiri dan dada, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, keadaan mangsa masih belum stabil.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ketika kejadian, dua anggota polis yang menjalankan rondaan menerima maklumat mengenai seorang lelaki mengamuk menggunakan senjata tajam di Kampung Kinaratuan.

"Dua anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati suspek sudah pulang ke rumahnya. Anggota polis kemudian ke rumah suspek yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

"Sebaik tiba, anggota polis kemudian memperkenalkan diri dan secara tiba-tiba suspek menjerit dan memaki-hamun, sebelum mengejar anggota polis menggunakan parang.

"Suspek dikatakan melibas-libas parang itu sambil memegang buluh tajam di tangan kirinya.

"Susulan itu, anggota polis memberi kata-kata amaran, namun suspek terus bertindak agresif dan menyerang menyebabkan salah seorang anggota polis melepaskan tembakan ke arah kaki kiri suspek untuk mempertahankan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun terus bertindak mengejar anggota polis menyebabkan satu lagi tembakan terpaksa dilepaskan dan mengenai dada suspek dan lelaki itu rebah.

"Ketika itu, anggota polis mengarahkan suspek untuk membuang parang dan buluh tajam yang masih berada di tangannya dan lelaki itu akur.

"Suspek kemudian dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan sebelum dipindahkan ke HQE1 untuk rawatan lanjut," katanya.

Farhan berkata, pemeriksaan mendapati terdapat dua kesan tembakan pada bahagian lutut kiri dan bahagian tengah dada suspek.

"Suspek kemudian dirujuk ke HQE1 Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Ladang, Luyang, Kota Kinabalu kerana mempunyai masalah mental," katanya.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati suspek membaling batu ke arah sebuah kenderaan sehingga cerminnya rosak.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 3:49 PM