ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran. FOTO ihsan bomba
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Seremban: Seorang lelaki mendakwa kerugian hampir RM200,000 apabila rumah yang dijadikan stor perabot di Jalan Kampung Baru Rasah, dekat sini, musnah terbakar pagi tadi.

Kejadian 1 pagi itu memusnahkan keseluruhan rumah dan semua barangan di dalamnya termasuk papan, perabot dan mesin.

Pemiliknya, Chong Fong Pong, 63, berkata, dia mengetahui kejadian selepas dihubungi jira di rumahnya di Taman Permai, dekat sini.

Katanya, tiada barangan dapat diselamatkan dalam kebakaran itu dan dia masih terkejut dengan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelemat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Hamizin Khaidir berkata, bomba menerima aduan 1.09 pagi dan bergegas ke lokasi bersama dua jentera dan 12 pegawai bomba.

Katanya, pihaknya turut dibantu 12 anggota bomba berserta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2.

"Sebaik tiba api sedang marak namun dapat dikawal sepenuhnya pada 1.33 pagi. Kebakaran membabitkan rumah separuh kekal yang musnah seratus peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 1:56 PM