BURGER daging COC dengan sayuran segar dan keju dibaluti telur.
BURGER daging COC dengan sayuran segar dan keju dibaluti telur.
Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman

Kali pertama mencuba hidangan bebola daging dari gerai COC Homemade Patty ini, penulis tidak menyangka rasanya begitu enak dan menyelerakan.

Ini kerana hidangan lazat itu mempunyai rasa empuk dengan kandungan dagingnya jauh berbeza berbanding yang biasa berada di pasaran. Biasanya mempunyai lemak dan tepung yang tinggi.

Malah rasanya juga tidak hanyir atau berbau kerana menurut pemiliknya, Mohd Hafizi Mohd Fadzil, 26, ia adalah hasil campuran daging kisar dengan herba bagi membangkitkan selera.

Mohd Hafizi berkata, tiada bahan seperti tepung yang dicampur dalam ramuan daging kisar dan kandungan lemak juga rendah menjadikan ia salah satu menu kegemaran pelanggan di gerai itu.

“Saya hasilkan bebola daging ini sendiri dan tiada bahan seperti tepung cuma serbuk roti juga buatan sendiri digunakan untuk memastikan daging kisar itu teradun dengan sempurna.

“Bahan istimewa lain yang saya masukkan ke dalam campuran daging kisar ini ialah herba ‘oregano’ kerana ia bukan saja memberikan rasa segar malah menjadikan campuran daging itu tidak berbau,” katanya.

Antara bahan lain yang digunakan dalam resipi bebola daging itu ialah bawang ‘kuning,’ bawang putih, serbuk lada hitam, serbuk roti dan telur.

Hidangan bebola daging itu turut dilengkapi kentang goreng dan salad campur terdiri daripada daun salad, lobak merah, tomato dan bawang ‘kuning’ serta sos mayonis yang istimewa. Ditambah beberapa bahan lain mengikut cita rasa dan sentuhan pemilik sendiri.

Dalam menambahkan selera, bebola daging itu sendiri turut disempurnakan dengan sos lada hitam yang juga hasil ciptaan Mohd Hafizi dan tiada bahan pengawet dimasukkan kerana ia disediakan setiap hari.

Seterusnya campuran daging kisar juga dibuat setiap hari bagi mengekalkan kesegaran dan memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan hidangan segar setiap hari.

Daging kisar yang digunakan untuk membuat bebola daging itu turut dijadikan daging burger untuk hidangan istimewa Burger Daging COC yang turut menjadi pilihan pelanggan.

Burger itu memiliki keunikan tersendiri kerana ia dihidangkan dengan sayur-sayuran segar seperti salad, tomato dan timun selain dilengkapi keju bersalut telur dituangkan sos lada hitam.

Menariknya Gerai COC Homemade Patty turut menyediakan pelbagai hidangan lain seperti roti bakar telur meleleh dan kebiasaannya roti bakar itu dihadangkan bersama daging burger yang dicincang serta diletakkan di atas roti itu.

Menurut Mohd Hafizi lagi, pelanggan mempunyai cita rasa tersendiri dan berbeza jadi mereka boleh mengolah menu mengikut selera masing-masing seperti meletakkan salad campur di atas roti bakar atau dimasukkan ke dalam Burger Daging COC.

Justeru lapangkan waktu anda untuk mengunjungi gerai COC Homemade Patty di Persiaran Nusari Aman 1, Bandar Seri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.

Perkhidmatan katering dan jualan bebola daging serta daging burger sejuk beku turut disediakan mengikut permintaan pelanggan. Sebarang maklumat lanjut boleh mengunjungi akaun Instragram @homemade_meatball.

MENU ISTIMEWA:

l Bebola daging dihidang bersama kentang goreng dan salad campur

l Burger daging COC dihidangkan bersama keju yang dibalut telur

l Roti bakar telur meleleh istimewa dihidang bersama daing burger

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 12:55 PM