FAIZAL (kiri) gagal hadir sesi latihan skuad negara.
FAIZAL (kiri) gagal hadir sesi latihan skuad negara.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Utamakan lencana di dada dulu.”

Demikian nasihat bekas pemain skuad negara Maninderjit Singh kepada penyerang utama negara Faizal Saari yang gagal hadir di sesi latihan skuad negara sebelum ini.

Meskipun faham dengan keluhan Faizal yang menuntut haknya daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Maninderjit berpendapat, Faizal tidak boleh sama sekali membelakangkan negara dengan tidak hadir ke sesi latihan.

“Saya faham tindakannya itu untuk menuntut haknya dan dalam kes ini juga, ada kesilapan daripada pihak MHC.

“Tapi, sebagai pemain, Faizal perlu terus memberi komitmen kepada skuad negara tidak kira apa juga situasi dialaminya. Pada masa sama, cuba cari jalan penyelesaian yang lebih baik dengan MHC,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Tegas Maninderjit, prinsip utamakan negara berbanding perkara lain bagi seseorang pemain itu tetap relevan sepanjang masa.

“Mungkin ada yang memberi pandangan zaman saya berbeza berbanding sekarang kerana wang juga cukup penting bagi seseorang pemain.

“Tapi, selaku pemain juga, anda tidak boleh mengubah prinsip mengutamakan negara terlebih dulu. Mendapat panggilan untuk mewakili negara sebenarnya satu pengiktirafan kepada seseorang pemain dan anda memikul tanggungjawab cukup besar,” katanya.

Justeru, Maninderjit yang pernah menggalas tugas selaku setiausaha badan induk itu yang dahulunya dikenali Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) berharap Faizal kembali bersemangat untuk kembali menjalani latihan bersama skuad negara.

Pada masa sama, beliau juga berharap MHC tidak lari daripada tanggungjawab untuk menyelesaikan segala perkara yang dituntut barisan pemain negara termasuk Faizal.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, Faizal memohon maaf dan menyatakan kesediaan untuk kembali menjalani latihan bersama skuad negara.

Difahamkan Faizal enggan turun menjalani latihan kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan MHC yang masih gagal membayar bonus kepada skuad negara sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:47 AM