Ng Tze Yong. FOTO File NSTP
Ng Tze Yong. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengakui tidak sabar untuk beraksi apabila bakal membuat penampilan sulung pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 di Terbuka India dekat New Delhi, Selasa ini.

Biarpun diundi bertemu pemain berpengalaman dari Indonesia, Tommy Sugiarto di pusingan pertama pemain berusia 21 tahun itu mengakui, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menentang lawan yang mempunyai ranking jauh lebih tinggi.

Malah, dia berharap dapat melangkah sejauh mungkin di Terbuka India selepas berjaya merangkul tiga gelaran juara di Eropah, tahun lalu.

"Saya membuat persiapan dengan sangat baik untuk kejohanan ini. Lepas pulang dari Eropah dan menjalani kuarantin saya terus kembali menjalani latihan. Tiada Cuti.

"Sebab saya tahu, cabaran di Terbuka India sangat sengit. Berdasarkan undian memang sukar sebab ini kejohanan bertaraf Super 500.

"Tapi itu bukan alasan, saya janji akan berikan yang terbaik dan inilah peluang untuk saya menilai kemampuan saya bila berlawan dengan pemain yang ranking lebih tinggi," katanya.

Tahun lalu menyaksikan pemain kelahiran Johor itu berjaya merangkul tiga gelaran iaitu Terbuka Poland, Cabaran Antarabangsa Terbuka Belgium dan Terbuka Scotland.

Dia yang kini menghuni ranking ke-60 dunia turut mendapat perhatian apabila disenarai dalam skuad negara ke Piala Sudirman di Finland dan Piala Thomas di Denmark tahun lalu.

Mengulas mengenai sasaran, Tze Yong berkata, dia meletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir.

Sekiranya berjaya melepasi halangan Tommy di pusingan pertama, Tze Yong akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari India, B Sai Praneeth.

Selepas tamat Terbuka India, Tze Yong akan beraksi pula dalam saingan Antarabangsa India Syed Modi di Lucknow yang bermula 18 hingga 23 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 1:36 PM