Pelbagai jenis tudung yang diperkenalkan di pasaran memudahkan pemilihan buat wanita Muslimah di negara ini. Namakan saja jenisnya, tentu setiap wanita bertudung pernah memakainya atau setidak-tidaknya menyedari kewujudannya.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu setiap jenis tudung mempunyai cara penjagaan yang berbeza mengikut jenis kain atau fabrik digunakan.

Misalnya, tudung bersengkuap yang mempunyai bahagian atas tudung yang lazimnya lebih tebal dan keras perlu dijaga rapi supaya bahagian berkenaan tidak mudah terlipat atau patah.

Bahagian sengkuap ini terdiri daripada pelbagai jenis material seperti sutera shantung, kain broked, kain kapas jepun, kodroi dan beberapa material lagi.

Walaupun pemakaian tudung jenis sengkuap ini lebih mudah dan menjimatkan masa bagi mereka yang mahu cepat atau bergegas ke tempat yang ingin dituju, terdapat cara yang betul untuk memastikan tudung ini tahan lama lebih-lebih lagi pada bahagian sengkuap.

Penjagaan tudung amat penting bagi menjamin kualiti tudung supaya sentiasa berada dalam keadaan baik serta tahan lama.

Jika mahu ke sesuatu tempat dan membawa tudung jenis ini di dalam beg, ia boleh digulung dengan cara memasukkan keseluruhan tudung ke dalam sengkuap.

Bagi tudung bersengkuap menggunakan fabrik lycra yang tahan kedut dan tidak perlu gosok namun jika perlu, seterika dengan suhu rendah.

Pemilik juga diingatkan supaya tidak melipat bahagian sengkuap kerana boleh menyebabkan tudung tidak terbentuk cantik ketika dipakai.

Untuk membasuh tudung jenis ini, hanya basuhan tangan saja digalakkan dan penggunaan mesin basuh hanya akan merosakkan tudung jenis ini. Berikut cara basuhan tudung ini.

1. Celupkan tudung ke dalam air sabun dengan memegang bahagian sengkuap. Seeloknya gunakan sabun lembut atau pelembut pakaian.

2. Jika ingin merendam tudung jenis itu jangan terlalu lama dengan memasukkan seluruh bahagian tudung dalam baldi namun bahagian sengkuap digantung pada bibir baldi.

3. Sekiranya ada peruntukan lebih digalakkan menggunakan khidmat cucian kering terutama yang dihiasi batu kristal, permata atau renda.

4. Jangan memberus atau menggosok tudung terlalu kuat kerana dikhuatiri akan merosakkan fabrik.

5. Terdapat beberapa jenis sengkuap yang akan lembik apabila kerap dibasuh, oleh itu jangan rendam terlalu lama atau gosok sewaktu ia dalam keadaan lembap.

6.Cara mengeringkan atau menyidai tudung ini adalah dengan menggunakan penyepit dengan melepas bahagian sengkuap ke bawah dan elakkan melipat bahagian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:05 AM