PENGGUNAAN kain berharga premium untuk keselesaan pemakai.
PENGGUNAAN kain berharga premium untuk keselesaan pemakai.
Siti Zarinah Sahib


SEHELAI selendang mampu mengetengahkan gaya pelbagai pemakai. Sama ada ingin tampil jelita, anggun malah bersifat keanak-anakan, semuanya dapat dizahirkan menerusi gaya ikatan tudung.

Apa yang membezakannya adalah potongan, penggunaan fabrik dan perincian digunakan. Cukup dikenali menerusi jahitan berkualiti dan perhiasan manik, mutiara serta batu permata tiruan, jenama Radiusite tidak pernah ketinggalan dalam menyediakan rekaan berbeza khas untuk peminat tegarnya.

Tampil dengan selendang polos pelbagai warna, apa yang menyebabkan rekaan A’tikah Ash’ari yang juga pengasas Radiusite ini begitu digilai peminatnya adalah setiap padanan terletak cantik apabila dipakai.

“Sama ada tudung segera, satu muka atau selendang panjang saya sangat menekankan kualiti fabrik dan ketelitian potongan. Ini kerana pelanggan saya kebanyakannya wanita muda berkerjaya yang inginkan penampilan anggun pada masa sama tudung yang mudah dipakai.

MENGGUNAKAN fabrik berkualiti memudahkan pemakaian.
MENGGUNAKAN fabrik berkualiti memudahkan pemakaian.

“Jadi saya menggunakan kain berharga premium yang bukan sahaja memberikan keselesaan kepada si pemakai, tetapi nampak mewah,” katanya

Jelas A’tikah lagi, selesa yang dimaksudkannya lembut dan tidak panas. Bahagian atas (sengkuap) juga kelihatan kemas, malah dalam sebarang posisi dan acara yang akan dihadiri bentuk dan kedudukan tudung tetap kekal bergaya.

Terkenal dengan tudung sifon, kapas dan moss crepe, bagi A’tikah pemilihan fabrik ini disebabkan ia kurang berkedut, tebal serta sejuk dipakai berbanding material lain yang ada di pasaran.

“Saya menggunakan kain berkualiti untuk menjaga jenama. Ia sesuai digayakan ketika meraikan acara perkahwinan, perayaan seperti hari raya, ke pejabat atau kasual. Saya percaya tudung yang memuaskan hati wanita mampu membuatkan mereka tersenyum anggun ketika menghadiri aktiviti berbeza,” jelasnya.

Terkenal dengan ketelitian dalam setiap perincian, namun jahitan manik atau batu permata ditampilkan sederhana atau tidak keterlaluan terutama pada bahagian hujung atau hadapan tudung. Manik digunakan kena dengan potongan. Malah ia tahan lasak, tidak tanggal walau dibasuh berkali-kali.

“Sejak dulu saya ingin kekalkan gaya premium menerusi setiap rekaan tudung. Saya dapat rasakan apabila kita memberikan yang terbaik kepada pengguna pastinya mereka tidak berbelah-bagi untuk mendapatkannya walaupun ditawarkan pada harga yang tinggi.

“Sehingga kini peminat setia tertunggu-tunggu rekaan akan datang yang harus mereka miliki. Disebabkan sokongan ini ada rekaan yang dihasilkan berdasarkan permintaan,” katanya.

Asyik menggunakan rona pastel dan sedikit terang jelas A’tikah, ia disebabkan permintaan pelanggan yang inginkan rona sebegitu. Namun dia tidak melupakan mereka yang inginkan warna terang menyerlah sebagai persalinan. Selain tudung, jenama ini turut menyediakan busana serta pakaian kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Setiap helaian boleh dimiliki menerusi laman sesawang atau berkunjung ke butik fizikal Radiusite. Harga dijual di antara RM89 sehingga RM250.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 5:30 AM