Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Dia dipanggil ‘Terminator’ oleh rakan sepasukan, namun gelaran itu belum cukup meyakinkan ketua jurulatih Kelantan George Boateng untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama sebaliknya Emmanuel Kenmogne (gambar) perlu terlebih dulu membuktikan kebolehan sebelum diberi peluang bermain menentang LionsXII di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam esok.

Penyerang kelahiran Cameroon berusia 34 tahun itu yakin mampu merobek gawang lawan andai diberi peluang oleh Boateng.

Begitupun, kejayaan Erwin Carillo menjaringkan gol kedua Kelantan ketika mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini, pasti menjadi nilai tambah buat Boateng, namun Kenmogne merasakan dirinya sudah bersedia 100 peratus untuk menjalankan tanggungjawab selaku penggempur utama.

Kenmogne atau lebih senang disapa Pancho berkata, dia yakin Kelantan mampu memenangi perlawanan sekiranya mengekalkan momentum sama ketika bertemu ATM, Sabtu lalu.

“Pengalaman menyertai beberapa kelab ternama seperti Sable FC, Royal Antwerp FC, Olympiakos, Ethnikos Achna, Persija Jakarta dan Persebaya Surabaya akan saya manfaatkan sepenuhnya membantu Kelantan mengutip tiga mata penuh.

“Selain Erwin, Kelantan memiliki beberapa penyerang berbakat seperti Ahmad Fakri Saarani, Mohd Khairul Izuan Rosli dan Norfarhan Muhammad. Saya yakin, mereka mampu merobek gol lawan.

“Pada pengamatan saya, Kelantan pasukan lengkap, namun beberapa pemain LionsXII seperti Khairul Nizam, Sufian Anuar, Syafiq Zainal dan Sahil Suhaimi perlu diawasi kerana mereka cukup berbahaya,” katanya.

Prestasi semasa Kenmogne membuktikan dia mampu menjadi ‘mesin pencetak gol’ buat Kelantan dan rekod 22 jaringan sepanjang 19 penampilan bersama Persebaya Surabaya tahun lalu sudah cukup menceritakan kehebatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 8:43 AM