REAKSI kecewa pemain Kelantan.
REAKSI kecewa pemain Kelantan.
Oleh Azlan Hafeefz


Kota Bharu: “Mereka tak harus dipersalahkan,” kata ketua jurulatih Kelantan George Boateng ketika mengulas kekalahan besar 0-4 di tangan PDRM di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam kelmarin.

Ketika ada yang menyelar kelekaan empat pemain pertahanannya, jurulatih dari Ghana itu sebaliknya berkata, Jonathan McKain, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Fitri Omar dan Noor Hazrul Mustapha sudah melakukan yang terbaik.

“Tidak harus mereka dipersalahkan atas kekalahan besar ini kerana semua pemain termasuk di bahagian pertahanan sudah berusaha sebaik mungkin,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Boateng turut menyifatkan kekalahan pertama The Red Warriors (TRW) itu bermaruah kerana pemain menunjukkan komitmen dan kesungguhan tinggi dalam memburu gol.

Katanya, pemain juga memburu gol penyamaan menerusi beberapa percubaan serangan balas yang diketuai Erwin Carillo, Wan Zack Haikal, Wan Zaharulnizam dan Mohd Badri Radzi.

“Kami tidak bernasib baik malam ini (kelmarin). Kami hampir menjaringkan gol, namun nasib lebih menyebelahi pasukan lawan.

“Saya berjanji, kami akan bangkit menentang Perak bagi menebus kekalahan ini,” katanya yang akan melakukan rombakan di beberapa posisi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 6:55 AM