Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Pengendali Kelantan George Boateng menyifatkan pertembungan The Red Warriors (TRW) dengan LionsXII malam kelmarin menakjubkan kerana ia menggambarkan permulaan kebangkitan anak buahnya dalam menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Jurulatih kelahiran Ghana itu berkata, semua pemain berjaya menterjemah semua bentuk strategi dirancang ketika latihan.

Kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi atau Piya, Mohd Fitri Omar dan Jonathan McKain berjaya menggalas amanat diberikan sekalipun pemain LionsXII kerap berkampung di depan gawang mereka.

Boateng turut memuji barisan pertahanan dikemudi Norhafiz Misbah Zamani, McKain, Mohd Noor Hazrul Mustapha dan Mohd Fitri selain Mohd Khairul Fahmi Che Mat kerana berjaya menyekat serangan bertali arus LionsXII.

“Permainan tangkas Emmanuel Kamogne atau Pancho juga wajar dipuji walaupun bekas pemain Persebaya Surabaya FC itu baru bersama kami.

“Pupo Isaac Tuku dan Erwin Carillo juga penting kerana bijak mengucar-kacirkan jentera lawan. Namun Carillo banyak melepaskan peluang keemasan selepas dirantai tiga pemain lawan.

Boateng menghargai disiplin dan kesungguhan pemain seperti Wan Zack Haikal Wan Noor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Khairul Izuan Rosli kerana berjuang mati-matian bagi memastikan Kelantan mengutip tiga mata.

Pada perlawanan itu, Kelantan menang 2-0 hasil jaringan McKain dan Piya. Kelantan bertemu PDRM di stadium sama, 21 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:41 AM