KOTA BHARU: Ketua jurulatih Kelantan George Boateng melaungkan keyakinan pasukannya mampu menumpaskan Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam esok.

"Tiada tekanan kepada saya dan juga pasukan. Setiap kali turun beraksi, kami mahu mencatat kemenangan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdepan Felda United yang kini pendahulu liga, adalah ujian besar kepada skuad The Reds Warriors (TRW).

"Kami seri kedua-dua perlawanan di tempat sendiri dan lawan berdepan mereka (Felda United) tahun lepas dan ia sangat besar maknanya untuk melihat bagaimana kami menghadapinya (malam esok)," kata beliau.

Boateng berkata, anak buahnya perlu lebih bersedia untuk berdepan jentera serangan Felda United yang diketuai Zah Rahan Krangar dari Liberia dan pemain import dari Australia, Ndumba Makeche.

"Barisan pertahanan kami lebih mantap kali ini berbanding tahun lepas dan prestasi pemain tengah juga baik, kami mampu menjaringkan gol menentang mereka (Felda United)," katanya.

Kelantan kini menduduki tangga kelima dengan tujuh mata, satu mata di belakang Felda United yang berada di kedudukan teratas liga, selepas empat perlawanan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 9:39 PM