Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Hajat pengendali Sime Darby FC Ismail Zakaria (gambar) untuk mencari import baru sebaik jendela perpindahan pemain dibuka bulan depan mendapat ‘lampu hijau’ Presiden Tengku Ahmad Shah yang mahu perubahan segera dilakukan demi memulihkan semula imej pasukannya.

Menurut Ahmad Shah yang juga pengurus pasukan The Giant Killers, penilaian semula prestasi keempat-empat awang importnya itu akan dinilai pada dua aksi Liga Super bermula dengan pertembungan menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) malam esok dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum melakukan pertukaran pemain bulan depan.

“Kami masih ada dua lagi perlawanan, bertemu Johor DT dan PDRM. Selepas itu jika perlu dilakukan perubahan drastik kita akan lakukan. Tapi, rasanya bukan semua (empat import), mungkin seorang atau dua saja.

“Apapun, kita tunggu selepas kedua-dua aksi itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai masa depan tiga tonggak importnya yang ditemui pada sesi latihan pasukan The Giant Killers, di Bukit Jelutong, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Ismail mengakui tahap kesabarannya benar-benar diuji ketika tewas 0-2 kepada Pahang minggu lalu dan menyalahkan pemain importnya yang beraksi longlai hingga gagal memberikan sebarang impak.

Malah, pengendali berusia 55 tahun itu juga membayangkan akan menggugurkan tiga pemain iaitu Nemanja Vidakovic, Dilshod Sharofetdinov serta Marko Perovic pada jendela perpindahan pemain bulan depan.

“Saya masih memberi mereka (tonggak import) peluang pada perlawanan berikutnya. Bagi saya bukan mudah untuk menukar sesuka hati pemain ketika ini.

“Apa yang lebih mustahak sekarang, pemain harus diberikan suntikan semangat dan moral. Jurulatih akan teliti dan tengok mana yang perlu diperbaiki, namun sekiranya mereka masih belum bangkit sudah tentu perubahan bakal berlaku,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai peluang pasukannya bertemu Johor DT di Selayang malam esok, Ahmad Shah tetap optimis dan percaya skuadnya mampu melakukan sesuatu di halaman sendiri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:29 AM