ELLA Henderson popular menerusi lagu Ghost.
ELLA Henderson popular menerusi lagu Ghost.
Oleh Georgie Joseph


Kebelakangan ini, kerjaya bekas peserta program realiti The X-Factor United Kingdom (UK), Ella Henderson, 19, nampaknya semakin menyerlah dan dia meniti saat-saat kegemilangannya sekarang.

Bermula dengan program realiti, kini jadual kerjanya banyak dihabiskan dengan berselisih bahu bersama nama besar dalam industri muzik termasuk menaiki penerbangan yang sama dengan penyanyi terkenal Ed Sheeran, baru-baru ini.

Perasaan penyanyi lagu Ghost itu tentunya berdebar-debar apabila tidak menyangka perkara itu boleh berlaku. Namun, pertemuan itu sangat bermakna apabila Ed memberikan banyak nasihat berguna buatnya.

“Kami berkongsi penerbangan yang sama. Ia mungkin kali pertama dan terakhir. Sepanjang perjalanan, saya tidak sangka dia begitu terbuka bercerita mengenai bagaimana menempuh tahun pertama menjadi artis.

“Tahun lalu menjadi tahun yang sangat ‘gila’ buat saya apabila segalanya berlaku dengan pantas. Namun kata Ed, perkara itu okay dan saya tidak perlu berhenti pun.

“Kata-kata Ed sangat bermakna buat saya kerana saya memang mengagumi bakatnya,” katanya.

Tahun lalu, mereka pernah berentap di pentas The X-Factor UK. Mengimbas saat itu, Ella sendiri belum percaya dia tampil ketika itu sebagai artis jemputan.

Mana tidaknya, bertanding untuk program itu pada 2012 lalu, Ella terpaksa berpuas hati di tempat keenam selepas tersingkir sedangkan dia antara peserta kegemaran untuk menjadi juara.

Bagaimanapun, Ella tampil luar biasa sejak uji bakat lagi dan tidak menanti lama untuk disambar syarikat rakaman selepas tamatnya program itu.

Bernaung di bawah label Syco Music, Ella kemudian meledak sejak tahun lalu menerusi single pertamanya berjudul Ghost yang ditulis bersama penulis lagu tersohor juga vokalis One Republic iaitu Ryan Tedder.

Berikutan lagu itu, dia berjaya mencipta legasinya tersendiri bukan saja di UK, tetapi juga di Scotland, Australia dan kini semakin mendapat perhatian di Amerika Syarikat.

Pada 25 Februari ini, dia bakal menjadi antara calon untuk dua kategori iaitu Artis Wanita Solo British Terbaik dan Single British Terbaik pada acara berprestij Brits Awards 2015.

Jika tahun lalu dia hadir sebagai penonton, Ella nyata tidak menyembunyikan rasa gembiranya dicalonkan pula tahun ini.

“Memang saya teruja! Belum sampai pun setahun saya lancarkan lagu pertama, dan sekarang dicalonkan pula untuk dua kategori, saya rasa saya sudah pun menang sesuatu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 9:39 AM