Susunan Georgie Joseph


Kisah percintaan penyanyi yang juga juri The X-Factor United Kingdom (UK) Cheryl Cole, 32, dengan anggota One Direction, Liam Payne, 22, sememangnya terlalu banyak perdebatan.

Bukan saja kerana perbezaan umur, tetapi hubungan cinta mereka juga disifatkan cukup mengarut. Lebih-lebih lagi apabila Cheryl belum bercerai secara rasmi dengan suaminya Jean Bernard Fernandez-Versini.

Terbaru, Jean mendakwa Cheryl curang dengannya semata-mata untuk bersama Liam.

Menurut sumber, Jean dimaklumkan Cheryl mula intim dengan Liam sejak Oktober tahun lalu iaitu dua bulan sebelum mereka berpisah.

“Maklumat itu disampaikan sendiri individu yang terbabit dalam program The X-Factor UK. Sebenarnya, Jean sedang berusaha menyelamatkan rumah tangga mereka,” kata satu sumber.

Ternyata, dakwaan Jean itu tidak menyenangkan Cheryl yang kemudian tampil dengan kenyataan balas di Twitter beberapa jam selepas itu.

“Kalau sesiapa percaya apa yang mereka baca pada hari ini bermakna anda semua tidak mengenali saya langsung,” kata Cheryl.

Bagaimanapun, selepas itu dia sendiri mendapat kecaman hebat daripada suaminya itu apabila Jean menulis ringkas kepada lebih 43,000 pengikutnya di Instagram bahawa kebenaran pasti akan menjelma.

“Sesetengah orang yang suka bercakap bahawa mereka tidak mahu menyentuh mengenai kisah peribadi adalah lemah. Mereka sendiri langsung tidak pandai menilai diri sendiri,” tulis Jean di Twitter sejurus selepas itu.

Ketika ini, Cheryl pula khabarnya terdesak mahu bercerai secara rasmi dengan suaminya itu demi menukar kembali namanya kepada yang asal.

Menurutnya, dia sudah melupakan hubungan antaranya dengan Jean dan mahu fokus kepada hubungan cinta bersama Liam. Pasangan berkenaan mengumumkan perpisahan mereka pada Januari lalu, namun sebenarnya dikatakan sudah berbuat demikian Ogos tahun lalu.

Cheryl kemudian dilihat menghadiri sebuah parti hari jadi bersama Liam pada Oktober tahun lalu dan bertegas mereka hanya kawan biasa ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 9:12 AM