Agensi

Manila: Satu kumpulan pergerakan Filipina yang berjuang untuk menamatkan keganasan terhadap wanita menambah satu lagi agenda mereka - mendesak Presiden Benigno Aquino III meletak jawatan berkait dengan operasi kontroversi polis di wilayah Maguindanao yang mengakibatkan 44 anggota komando terbunuh.

“Bagaimana kita mahu mengubah sistem jika orang yang tidak menguruskan negara dengan baik tidak diganti?” kata pelakon dan juga Pengarah Global One Billion Rising (OBR) Revolution, Monique Wilson ketika berucap di depan 3,000 peserta tarian mob di Bonifacio Shrine, Manila.

Acara itu dilancarkan sebagai permulaan kepada kempen sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang akan disambut pada 8 Mac depan. Kempen itu menggunakan tarian untuk menuntut perubahan sistemik terhadap struktur yang menindas wanita dari sektor sosial berbeza.

Turut disertai 200 negara pergerakan itu yang ditubuhkan tiga tahun lalu, pergerakan itu menggesa Aquino meletak jawatan ketika anggotanya menuntut kebenaran dan kebertanggungjawaban terhadap insiden yang berlaku di Mamasapano 25 Januari lalu.

The One Billion Rising, diketuai kumpulan wanita Filipina yang dikenali sebagai Gabriela mencadangkan pembentukan majlis peralihan untuk membuka jalan bagi pilihan raya akan datang.

Pada masa sama, ia turut menuntut gaji minimum kebangsaan ditetapkan pada 16,000 pesos (RM3,900).

Lain-lain isu yang dibangkitkan oleh OBR ialah berkait perlombongan, imperialisme, ketenteraan, perdagangan seks dan perobohan.

“Revolusi ini memerlukan kesabaran, tenaga, kreativiti dan perpaduan. Aspek OBR paling berharga ialah perpaduan global. Dalam perjuangan ini kita tidak keseorangan. Seruan kita untuk kebenaran dan kebertanggungjawaban juga disuarakan di negara lain,” kata Monique.

Sementara itu, bekas penyokong Aquino, Mae Paner atau lebih dikenali umum sebagai Juana Change, turut menyertai tarian mob dengan memakai pakaian seragam polis.

“Tokoh penting yang terlibat dalam tragedi Mamasapano ialah Ketua Pengarah Polis, Alan Purisima. Dia ialah rakan jenayah yang menyembunyikan kebenaran. Kami menyeru kepada kebenaran kerana dalam kebenaran ada keadilan.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:09 AM