Dalam perihal kewangan, ia banyak memerlukan kesabaran. Apabila tiada duit, perlu bersabar dalam menguruskan kewangan. Apabila hendak buat duit melalui perni­agaan, perlu bersabar dalam mengusahakan keuntungan. Apabila me­laburkan duit pula, perlu bersabar dalam menunggu pula­ngannya.

Kekayaan tidak datang ­dengan mendadak seperti orang sebutkan ‘durian runtuh’ kerana hanya datang sekali-sekala. Mengharap­kan durian runtuh saja pastinya satu strategi kewangan yang salah. Strategi yang sebetulnya memerlukan kesabaran.

Apa tidaknya. Ramai yang tidak sabar dalam menjana pendapatan akhirnya terjerumus dalam skim cepat kaya yang hanya merugikan. Apabila nafsu ingin menjadi kaya mengaburi fikiran, wang pelaburan yang mungkin ratusan atau ribuan dipertaruh­kan untuk cepat kaya.

Sudah biasa kita dengar keluhan mereka yang tertipu dengan skim sebegini. Walaupun pelbagai kes dilaporkan di akhbar dan sering juga kita dengar kisah pelaburan yang lesap dek orang yang tidak bertanggungjawab, namun semakin hari, semakin banyak kes terbabit berlaku. Seolah-olah orang ramai tidak serik dengan gejala ini.

Apabila ditimpa masalah kewangan, sudah pasti kesabaran juga diperlukan terutama bagi yang berumah tangga, perlu beringat bahawa masalah kewangan antara sebab tertinggi berlaku­nya perceraian. Bergaduh kerana wang pasti terjadi sekiranya hilang kesabaran.

Antara penyakit yang berbahaya pada sesiapa saja adalah stres. Stres juga boleh berpunca daripada masalah kewangan. Apabila ­keperluan asas, bil dan ­perbelanjaan yang tidak diduga memerlukan wang yang tidak dimiliki, pasti stres datang pada diri sendiri. Apakah ubatnya? Kesabaran.

Siapa yang tidak mahu cepat kaya sekiranya diberi peluang? Namun, peluang sebegitu tidak datang tanpa kerja keras dan kesabaran. Menjana pendapatan memerlukan pengetahuan dalam berniaga atau melabur. Pengetahuan dalam strategi perniagaan dan melabur juga memerlukan masa untuk dikumpulkan - pastinya memerlukan kesabaran juga dalam menimba ilmu.

Apabila memulakan perniagaan, ia mengambil masa juga dalam mengimplementasikan ilmu yang sudah dipelajari. Memang benar kebanyakan perniagaan menemui kegagalan. Tetapi, sering kali kegagalan dalam ­perniagaan tidak dikira dengan tepat.

Apa yang saya maksudkan, tidak memberi masa untuk sesuatu

perniagaan terbabit berkembang.

Dalam tahun pertama perniagaan, pastinya keuntungan tidak banyak dapat dikumpulkan kerana sering mengalami kerugian. Ini kerana tahun pertama perniagaan adalah tahun untuk usahawan terbabit belajar daripada ­pengalamannya sebagai usahawan baru.

Masuk tahun kedua pula, tiba masanya untuk usahawan me­ngimplemetasikan apa yang dipelajari daripada tahun pertama. Segala kesilapan atau masalah yang dihadapi pada tahun pertama adalah pengajaran untuk diperbaiki pada tahun seterusnya. Ketika ini keuntungan mula dapat dilihat dengan lebih baik.

Tahun ketiga pula tahun menjana keuntungan selepas mengimplementasikan lebih banyak teknik dan strategi pada tahun kedua.

Ya, semestinya benar bahawa ia mengambil bertahun-tahun pe­ngalaman dalam bidang perniagaan untuk berjaya. Tanpa kesabaran, pastinya pada tahun pertama lagi usahawan sudah mengaku kalah kerana tidak melihat keuntungan yang diimpikan.

Begitu juga dengan pelaburan. Pelaburan jangka panjang selalunya lebih selamat daripada pelaburan jangka pendek. Pelaburan jangka panjang akan memberi peluang untuk turun dan naiknya keadaan pasaran yang lebih serata. Sekiranya tidak sabar, pastinya sukar mendapat pulangan pelaburan dalam masa bebulan-bulan atau setahun dua. Dengan kesabaran, pulangan pelaburan akan lebih dilihat selepas tujuh hingga 14 tahun atau lebih!

Bersabar adalah sifat yang mulia. Ada orang yang sememangnya dilihat jenis penyabar, ada pula yang tidak sabar dan cepat baran. Saya percaya bahawa kesabaran juga satu skil yang boleh dipelajari.

Satu cara untuk memupuk sifat sabar dalam kewangan adalah dengan selalu berfikir positif me­ngenai wang. Walaupun tiada wang, tetap fikirkan positif. Ini kerana wang adalah rezeki dan jika rezeki wang tiada pada diri kita, mungkin rezeki kita pada perkara lain. Sekiranya gagal perniagaan, perlu fikir positif kerana kegagalan adalah guru terbaik untuk mengajar kita menjadi lebih baik. Belajar daripada kesilapan dan gunakan ilmu terbabit untuk memperbaiki usaha perniagaan kita kelak.

Bagi yang membaca perenggan di atas dan dalam hati terdetik persoalan ‘cakap memanglah senang, kalau dalam keadaan itu, bagaimana hendak berfikir positif lagi?’ Maka di situ juga petanda fikiran negatif mudah menyelinap masuk ke minda.

Satu latihan yang boleh dicuba untuk menanamkan pemikiran positif adalah dengan ­mencabar diri sendiri berfikir positif ­selama 14 hari. Tidak kira untuk perkara apa saja dan

dalam keadaan apa sekali pun, paksa diri ­sendiri ­untuk berfikir positif dan

tidak merungut selama dua ­ming­gu.

Buangkan perasaan marah selama tempoh berkenaan. Sekiranya terdapat sedikit pemikiran negatif dalam kepala, cepat-cepat ubahkannya menjadi positif.

Apatah lagi sekiranya terluah kata-kata negatif daripada mulut.

Pastikan berhenti daripada berkata-kata dan kongsi yang positif saja.

Tidak kira dalam waktu kesesakan lalu lintas di dalam kereta atau kena marah oleh bos di pejabat, sama ada perlu melayan kerenah anak-anak di rumah, hinggalah dalam keadaan di luar dugaan yang memerlukan kesabaran dan berfikir positif.

Latihan ini sememang­nya sukar bagi kebanyakan kita, tetapi dengan melakukannya, anda akan dapati perubahan dari segi pemikiran anda selepas dua ming­gu. Sekurang-kurangnya lebih ­banyak pemikiran positif diterapkan dan kesabaran pula akan mula menguasai diri apabila menghadapi keadaan yang me­nyukarkan.

Untuk berjaya dalam kewangan semestinya memerlukan kesabaran. Caranya adalah sentiasa berfikir positif mengenai wang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 12:34 PM