GAMMA1 popular dengan Hidup Segan Mati Tak Mau masih jalani kehidupan sebagai penoreh getah.
GAMMA1 popular dengan Hidup Segan Mati Tak Mau masih jalani kehidupan sebagai penoreh getah.
Oleh Georgie Joseph

Dilabel sebagai band kampung boleh menimbulkan pelbagai persepsi kepada mana-mana kumpulan muzik.

Ada yang menganggapnya satu penghinaan jika ia membabitkan karya mereka.

Namun tidak buat band yang semakin menempa nama di Indonesia, Gamma1. Malah, kumpulan yang popular dengan lagu Hidup Segan Mati Tak Mau ini berbangga jika dilabel kampungan.

Diterajui Heri sebagai penyanyi, Nilam (penyanyi), Ana (dram), Alung (gitar) dan Pandi (bass) berkata, mereka cuma mahu berpijak di bumi nyata.

“Hakikatnya, kami selalu dilabel band kampung, tetapi secara peribadi kami dengan bangganya akui kami memang orang kampung.

“Kami tak malu kerana kami ada prinsip bahawa kejayaan itu datang dari diri sendiri bukannya latar belakang kita. Itulah yang kami mahu sampaikan kepada generasi baru agar kami menjadi inspirasi buat mereka,” katanya.

Biarpun sudah menempa populariti, mereka yang berasal dari kampung sama iaitu Desa Mancung, Bangka di Belitung, Indonesia masih menjalani kehidupan sebagai penoreh getah.

Sesekali dapat pelepasan daripada aktiviti seni, masing-masing mengubat kerinduan ke kebun getah apabila pulang ke kampung halaman.

Berkongsi mengenai perjalanan karier Gamma1, menurut Heri, ia satu proses yang sangat memerlukan kesabaran.

Malah, demi merealisasikan impian, mereka pernah mengumpul wang dengan menjual cili.

“Segala-galanya bermula sewaktu kami menyertai pertandingan band indie yang dianjurkan stesen radio di Bangka. Daripada puluhan band, kami terpilih dengan syarat harus ada karya asal sendiri.

“Pada 2010, kami diminta ke Bandung menjalani proses rakaman, tetapi tidak mempunyai wang yang cukup. Kami ambil inisiatif dengan menanam serta menjual cili dan dalam tiga bulan berjaya mengumpul modal. Cukuplah untuk tambang pergi balik dan penginapan selama dua bulan di Bandung,” katanya.

Dari Bandung mereka mendapat panggilan daripada penerbit album di Jakarta pula sebelum menjadi artis naungan Trinity Optima Production.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:00 AM