MUHAMMAD Amirul Ridzuan bersama adiknya, Farid Ikram bersama koleksi Lego mereka.
MUHAMMAD Amirul Ridzuan bersama adiknya, Farid Ikram bersama koleksi Lego mereka.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Bermula sekadar suka-suka namun penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini tidak menyangka minat mendalam bersama adiknya iaitu mengumpul barangan Lego pelbagai bentuk kini menjadi hobi yang dikongsi seisi keluarga.

Muhammad Amirul Ridzuan Azman, 22, yang juga penuntut ijazah sarjana muda perbankan Islam bersama adiknya, Farid Ikram, 16, kini sudah mengumpul lebih 100 Lego pelbagai bentuk.

Menurut Muhammad Amirul Ridzuan, minat itu datang sejak lebih dua tahun lalu memandangkan dia bersama adiknya gemarkan sesuatu barangan yang unik selain perlu dipasang terlebih dulu kerana ia dapat menguji tahap pemikiran mereka.

“Lego yang kami kumpul ini dibeli dalam keadaan belum dipasang. Justeru, kami sekeluarga meluangkan masa bersama untuk memasang Lego terbabit.

“Adik pula amat kreatif dan kami berdua meluangkan masa bersama-sama memasang Lego sebelum ia disimpan dalam almari khas yang ditempah ayah,” katanya.

Dua beradik daripada tiga beradik itu juga amat bertuah kerana hobi mereka me-ngumpul Lego mendapat sokongan dan galakan daripada bapa, Azman Mokhtaram dan ibu, Rohaidah Hashim.

Amirul Ridzuan berkata, ayahya menempah khas sebuah almari kaca untuk menyimpan semua koleksi Lego pelbagai bentuk itu supaya ia sentiasa terjaga dan tersimpan rapi.

“Bagi memastikan semua koleksi Lego tersimpan rapi kami menyimpannya di dalam almari khas bukan saja supaya ia terjaga, malah pada masa sama, kenalan atau saudara-mara yang berkunjung ke rumah dapat melihat koleksi Lego kami.

“Untuk semua koleksi ini kami sudah me-ngeluarkan belanja lebih RM1,000,” katanya.

Menurutnya, dia dan adiknya akan membeli koleksi Lego terbaru setiap kali keluar ketika hujung minggu bersama keluarga terutama sekiranya terdapat bentuk Lego baru yang unik dan cantik.

“Saya tidak rasakan hobi ini membazir kerana setiap Lego yang dibeli boleh disimpan di samping dapat mengeratkan silaturahim kami adik-beradik.

“Kami juga bercadang untuk memperba-nyakkan koleksi Lego ini supaya ia boleh disimpan dan dikenang pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, menurut Farid Ikram, dia berpuas hati setiap kali melihat semua koleksi Legonya bersama abangnya yang disimpan dalam almari khas itu.

“Saya dan abang juga bersama seorang lagi adik kami mengemas almari ini ketika hujung minggu atau ketika waktu terluang sambil kami meluangkan masa bersama.

“Memandangkan saya masih bersekolah, kebanyakan Lego milik saya dibelikan ayah dan ibu atau pemberian daripada sanak saudara serta rakan-rakan.

“Setiap individu mempunyai hobi mereka sendiri dan saya amat yakin hobi kami ini amat berfaedah dan dapat merapatkan hubungan antara kami adik-beradik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 12:20 PM