Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Fanatik dengan lambang S yang menjadi simbol karakter Superman membuat­kan anak sulung daripada empat beradik ini mula mengumpul koleksi barangan superhero terbabit sejak 2010 hingga kini.

Mohd Hafiz Mohd Zahidi, 27, yang kini menetap di Rawang, Selangor mempunyai lebih 50 koleksi barangan Superman antaranya topi, kemeja-T, cincin, bantal, baju sejuk, bing­kai gambar dan tabung.

Menurut Mohd Hafiz yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, dia bukan saja mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli barangan yang mempunyai lambang superhero kegemarannya, malah ada antara koleksi adalah pemberian ahli keluarga dan kenalan.

"Semua individu yang mengenali saya tahu saya sememangnya obses dengan apa saja barangan Superman dan disebabkan itu mereka sering memberikan hadiah koleksi superhero itu kepada saya.

"Kerana minat, saya tidak berkira mengeluarkan belanja untuk mendapatkan satu-satu barang. Barang yang paling mahal pernah saya beli adalah baju sejuk Superman berharga RM580," katanya.

Mohd Hafiz yang kini adalah Pelatih Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Tabung Haji berkata, keunikan lambang S itu membuatkan dia meminati superhero terbabit dan nekad me­ngumpul barangan Superman serta menjadikannya sebagai hobi.

"Saya boleh menghabiskan masa sehingga tiga jam ketika memilih barangan koleksi ini, selain sering meluangkan masa berjam-jam di kedai yang mempunyai barangan Superman.

"Selain itu, saya akan bingkaikan semua koleksi baju lama yang sudah tidak dipakai lagi untuk dijadikan hiasan. Dengan cara ini baju yang lusuh nampak cantik dan terjaga. Lebih lama usianya, ia akan jadi lebih berharga," ujarnya.

Menurutnya, semua koleksi itu disimpan dan dijaga rapi bagi memastikan ia tidak rosak.

"Kebanyakan koleksi barangan superhero yang saya kumpul disimpan di dalam bilik. Saya sentiasa meluangkan masa untuk me­ngemas dan membelek barangan yang dimiliki.

"Walaupun saya peminat tegar, tetapi patung Superman tiada dalam koleksi saya. Bagi saya tidak elok untuk kita menyimpan patung di dalam rumah," katanya.

Setiap kali kenalannya bertanya hadiah yang diinginkan ketika sambutan hari lahirnya atau apabila kenalan atau ahli keluarga melancong ke mana saja pasti dia meminta barangan Superman.

"Walaupun ia dianggap kebudak-budakan tetapi bagi saya hobi ini dapat melegakan tekanan, sekali gus menggembirakan hati setiap kali memandang koleksi sendiri," kata­nya sambil tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:00 AM