KOLEKSI mainan set Happy Meal McDonald’s masih di dalam bungkusan asal.
KOLEKSI mainan set Happy Meal McDonald’s masih di dalam bungkusan asal.
AZIR mengumpul mainan set Happy Meal McDonald’s sejak di bangku sekolah.
AZIR mengumpul mainan set Happy Meal McDonald’s sejak di bangku sekolah.
AZIR bersama koleksi mainan kepunyaannya.
AZIR bersama koleksi mainan kepunyaannya.
Redzuan Muharam


Menunggu di laluan pandu lalu hampir dua jam antara pengalaman tidak dapat dilupakan Azir Amirul Ezahar, 24, sepanjang menjadi pengumpul tegar set mainan Happy Meal McDonald’s.

Meskipun tempoh itu agak lama, Azir sanggup dan berasakan penantiannya berbaloi lebih-lebih lagi apabila mainan diinginkan berada dalam genggaman.

Katanya, tiada istilah penat atau membazir masa kerana itu perkara biasa perlu dilalui pengumpul sesuatu barangan yang lebih bimbang jika mainan diinginkan kehabisan stok.

“Sejak di sekolah menengah lagi, saya gemar mengumpul permainan tetapi paling obses dengan set mainan Happy Meals McDonald’s.

“Disebabkan minat, saya kerap ke restoran McDonald’s untuk mendapatkan set mainan berkenaan namun tidak akan sesekali mengeluarkannya daripada bungkusan plastik.

“Bukan apa, mainan berkenaan hanya dijual pada tempoh tertentu jadi saya khuatir kalau ia hilang atau rosak jika dikeluarkan daripada bungkusan asal,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dalam keluarga, hanya dia seorang minat mengumpul mainan berkenaan manakala adik-beradiknya tidak begitu.

Menurut Azir, keluarga pernah mempersoalkan minatnya itu yang seakan-akan lebih sinonim dengan kanak-kanak namun memahami selepas melihat kesungguhannya mengumpul mainan berkenaan.

“Saya ada juga mengumpul beberapa barangan lain tetapi itu minat sampingan kerana lebih cenderung kepada mainan McDonald’s .

“Mungkin kerana itu hobi ini berterusan sehingga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

“Mujurlah, isteri faham malah dia turut berkongsi minat yang sama dan paling lucu apabila dia sering kali mengidam makanan McDonald’s sepanjang mengandungkan anak sulung kami,” katanya.

Azir berkata, buat masa ini, dia masih belum jemu mengumpul dan menambah koleksi mainan yang ada di dalam simpanan.

Katanya, walaupun hanya disimpan di dalam bungkusan, dia puas kerana baginya bukan mudah untuk mendapatkan mainan berkenaan.

“Buat masa ini, saya mempunyai 87 mainan yang masih berbungkus kemas manakala 35 lagi disimpan di dalam rak kaca.

“Kadangkala saya sengaja membeli lebih daripada satu mainan yang sama kerana minat namun tidak bercadang menjualnya kepada sesiapa.

“Jika tidak lagi berminat dengan hobi ini satu hari nanti, biarlah anak saya yang menyambung legasi sebagai pengumpul , itu pun sekiranya dia mempunyai minat sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 6:17 AM