Amir Abd Hamid

Putrajaya: Kegilaan terhadap siri peperangan di angkasa lepas, Star Wars menyebabkan seorang pemuda sanggup berhabis RM50,000 untuk mengumpul koleksi Lego Star Wars sejak empat tahun lalu.

Mohd Faizol Ismail, 35, menganggarkan RM20,000 bagi memiliki askar dan pemimpin perang dalam siri Star Wars selain membeli bata Lego buat model kapal angkasa dalam siri itu.

Dia mula mengumpul koleksi selepas teruja melihat rakan meminati hobi sama berfantasi apabila bermain set Lego siri fiksyen popular Amerika Syarikat (AS) itu.

“Sejak terjebak dengan hobi ini di penghujung 2014, saya tidak menoleh ke belakang. Alat kecil yang berterabur apabila digabungkan menjadi set lengkap yang memberi kepuasan.

“Setiap kali balik ke rumah, saya ke bilik khas menyimpan koleksi ini melihat askar mini Stormtrooper dan Resistance,” katanya.

MOHD Faizol menunjukkan koleksi dalam bilik khas di rumahnya di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MOHD Faizol menunjukkan koleksi dalam bilik khas di rumahnya di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Menurutnya, koleksi paling disayangi adalah koleksi askar yang dikumpul sedikit demi sedikit.

Mohd Faizol berkata, 2,000 askar yang dikumpulnya jika hidup boleh berperang.

“Set paling mahal dibeli setakat ini ialah kapal perang Ultimate Collectors Series Millennium Falcon berharga RM3,499.

“Saya belum sempat pasang sebab baru dimiliki. Saya diberitahu rakan jika mahu pasang set dengan 7,541 bahagian kecil mengambil masa dua hari.

“Kapal perang Millennium Falcon dianggap ibu segala Lego Star Wars walaupun belum berkesempatan untuk memasang atas faktor kesibukan pekerjaan,” katanya.

Dia mengimpikan memiliki rumah yang berkonsepkan Lego Star Wars dengan Stormtroopers, Resistance, Darth Vader, Jedi, Princess Leia dan Kylo Ren dalam siri itu menghiasi kediamannya kelak.

SEBAHAGIAN daripada 2,000 askar yang dikumpulnya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
SEBAHAGIAN daripada 2,000 askar yang dikumpulnya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 4:33 AM