BERNAMA

MEKANISME Pelepasan Kos Bahan Api dan Penjanaan atau ‘Imbalance Cost Pass Through’ (ICPT) yang diperkenal oleh kerajaan sejak 2015, membolehkan rakyat menikmati rebat tarif elektrik sebanyak kira-kira RM5.4 bilion sepanjang tempoh Mac 2015 hingga Disember 2017.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, Kerajaan turut membelanjakan sekitar RM3.79 bilion sepanjang tempoh 2012-2017 bagi menampung kos bahan api dan memberi subsidi supaya pengguna di Sabah membayar kadar tarif yang lebih rendah daripada kos pembekalan elektrik sebenar.

Untuk makluman, mekanisme ICPT ini hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

“Untuk Program Rebat RM20, kerajaan membelanjakan RM1.049 bilion sejak ia mula diperkenal pada Oktober 2008 hingga kini, dengan kerajaan membayar bil elektrik bagi pengguna yang menggunakan elektrik kurang daripada RM20 sebulan,” katanya pada program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel. Turut serta dalam program itu, Naib Presiden (Perancangan dan Ekonomi Kawal Selia) TNB Datuk Roslina Zainal.

Sementara itu, dalam pengumuman mengenai penyelarasan tarif elektrik yang dibuat oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili pada 30 Jun lepas, kerajaan bersetuju membelanjakan RM1.30 bilion untuk subsidi pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai-Disember tahun ini.

Berdasarkan jumlah ini, Zaini berkata, rakyat akan membayar kadar tarif elektrik lebih rendah daripada tarif asas dengan kerajaan menampung surcaj sebanyak 1.02 sen per kilowatt (sen/kWj) di samping mengekalkan rebat sebanyak 1.52 sen/kWj, menjadikan jumlah rebat keseluruhan kepada 2.54 sen/kWj bagi tempoh tersebut.

Katanya jumlah rebat yang lebih tinggi daripada tempoh sebelum ini disebabkan peningkatan kos pembekalan elektrik berikutan kenaikan harga arang batu sebanyak 36 peratus, kemerosotan kadar tukaran wang asing kepada ringgit dan kenaikan harga gas berpaip.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk menyerap kenaikan kos pembekalan elektrik ini supaya tidak membebankan pengguna, di samping mengekalkan rebat sedia ada sebanyak 1.52 sen/kWj yang telah diberikan sejak 1 Januari 2017.

“Rebat ini ditampung sepenuhnya menggunakan Dana Hasil Rundingan Semula Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Penjana Kuasa Bebas Generasi Pertama (Dana Penjimatan PPA),” katanya.

Dana Penjimatan PPA ditubuhkan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati penjimatan yang diperoleh hasil perbincangan semula kerajaan dengan penjana kuasa bebas (IPP) generasi pertama.

Dana tersebut yang berperanan sebagai dana penstabil bertujuan memastikan kadar tarif elektrik tidak membebankan pengguna.

Sejak Mac 2013, penjimatan daripada pembayaran kapasiti yang lebih rendah ini disimpan oleh kerajaan untuk digunakan bagi mengurangkan impak kenaikan tarif elektrik, khususnya disebabkan turun naik harga bahan api.

“Kerajaan telah membuat deposit kepada Dana PPA sebanyak tiga kali ketika terdapat penjimatan dalam kos pembekalan elektrik, dan tindakan proaktif Kerajaan itu membolehkan kenaikan kos tarif elektrik pada tempoh ini mampu ditampung oleh Kerajaan.

“Bagaimanapun, memandangkan dana telah digunakan dalam jumlah yang besar iaitu RM1.303 bilion, baki dana yang tinggal amat terhad dan dijangka tidak dapat berterusan menampung kenaikan kos pembekalan elektrik pada masa hadapan,” katanya.

Setelah ditolak rebat, sehingga Jun 2017, Zaini berkata baki Dana PPA berjumlah RM490.41 juta, dan amat terhad dan dijangka tidak mencukupi untuk terus menampung pemberian rebat, khususnya jika kos pembekalan elektrik terus meningkat pada masa akan datang.

“Oleh itu, kenaikan kos pembekalan elektrik (selepas ini, sekiranya ada) perlu dilepaskan kepada pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 10:38 PM