Kuala Lumpur: Tiada kenaikan kadar tarif elektrik sehingga tahun depan. Begitu kata Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Datuk Abdul Razak Abdul Majid.

Beliau berkata, kajian dan pengiraan kos penjanaan di samping pembahagian elektrik mendapati kadar tarif elektrik tidak perlu dinaikkan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, pihaknya selaku pihak yang mengawal selia Tenaga Nasional Berhad (TNB) menentukan tarif elektrik secara munasabah dengan mengambil kira kemampuan syarikat utiliti itu dan rakyat untuk menanggungnya.

“Pada masa ini tarif akan dikekalkan dan selepas itu kita akan semak balik kos penjanaan dan pembahagian sebelum membentangkannya kepada kerajaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga dan rakan dialog ASEAN (SOME+3) di sini, semalam.

Kali terakhir tarif elektrik berubah ialah pada 1 Mac apabila ia diturunkan dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) 2.25 sen/kWj bagi pengguna di Semenanjung Malaysia.

Purata kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan 1.20 sen/kWj, berkuat kuasa bagi tempoh sama, penurunan 3.5 peratus daripada purata kadar tarif semasa.

Abdul Razak berkata, kadar tarif elektrik Malaysia adalah antara yang termurah di ASEAN.

“Tarif elektrik kita murah berbanding Singapura dan Filipina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 5:52 AM