GEORGETOWN: Seorang anggota polis bersama tunangnya tersesat ketika mendaki di Bukit Jambul di sini, malam tadi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Mohd Fauzi Suid berkata, 15 anggota bersama jentera digegaskan ke tempat kejadian apabila pihaknya menerima panggilan daripada anggota polis itu pada 8.11 malam.

Beliau berkata, pasukan menyelamat dapat menjejaki kedudukan pasangan itu pada 9.23 malam dan mengambil masa hampir satu jam untuk membawa kedua-duanya turun ke kaki bukit

"Gerakan mencari agak sukar kerana selain keadaan gelap tiada tempat pemeriksaan atau tanda tempat khusus yang dapat dijadikan penanda kedudukan sebenar mereka," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau yang turut mengetuai operasi itu berkata, Ahmad Tarmizi Muriza, 27, dan Noor Hassu Diyana Basir, 27, tidak cedera.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, mereka cuba mengelak daripada dikejar sekumpulan anjing ketika tiba di puncak bukit sehingga terkeluar dari laluan pendaki ketika menuruni bukit.

"Kami mula mendaki pada 6 petang, tiba di puncak ada tiga hingga empat ekor anjing dan apabila anjing itu mula menyalak kami panik dan tersilap jalan turun," kata anggota polis yang bertugas di Kuala Lipis, Pahang itu.

-- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 1:08 PM