KEADAAN mangsa yang terkandas di Bukit Tabur, Hulu Kelang.
KEADAAN mangsa yang terkandas di Bukit Tabur, Hulu Kelang.
Nadzreen Shah Mat Salim

Ampang: Hasrat sekumpulan 12 penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) meraikan hari kemerdekaan dengan mendaki puncak Bukit Tabur, di sini, menyebabkan mereka terkandas enam jam.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, mangsa, Mohd Aiman Zakwan Roslan, 21, bersama 11 rakannya memulakan pendakian kira-kira jam 8 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.40 malam berhubung 12 mangsa terkandas di atas bukit.

Susulan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba mengambil masa sejam untuk sampai ke lokasi tempat kumpulan itu berkumpul,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, setibanya di lokasi, semua mangsa membabitkan 10 lelaki dan tujuh wanita ditemui selamat.

“Semua mangsa kelihatan lemah akibat kepenatan manakala Mohd Aiman ditemui terbaring.

“Mangsa mendakwa dia tidak dapat meneruskan perjalanan turun ke kaki bukit kerana terlalu letih dan kakinya mulai bengkak.

Difahamkan, misi menyelamatkan mangsa dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Mohd Sani berkata, anggota bomba berjaya membawa turun mangsa ke kaki bukit jam 11.34 malam kelmarin.

“Anggota bomba terpaksa menggunakan pengusung untuk membawa mangsa turun ke kaki bukit.

“Mangsa kemudian di hantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:23 AM