Internet memudahkan kehidupan seharian kita namun setiap yang mudah itu ada kosnya.

Kita menggunakan Internet untuk urusan perbankan, membeli-belah, mengisi borang permohonan dan berkomunikasi sama ada dengan rakan, keluarga atau urusan kerja yang mendedahkan maklumat peribadi jika tiada perlindungan.

Pada dasarnya kini penggodaman sistem komputer bertujuan mendapatkan wang iaitu rompakan dan penipuan melalui siber tanpa perlu bersemuka dengan mangsa.

Menyedari peningkatan kadar ancaman serta serangan sejak kebelakangan ini, Symantec melabur A$12 juta untuk melengkapkan pejabatnya di Sydney, Australia, terutama makmal bagi mengawasi dan mengesan ancaman di wilayah Asia Pasifik.

Makmal itu yang dinamakan Pusat Operasi Keselamatan (SOC - Security Operation Center) dihubungkan dengan SOC Symantec lain di seluruh dunia termasuk di India, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat.

Sepanjang masa, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kakitangan terlatih di SOC mengawasi dan memeriksa data pelanggan bagi mengesan kemungkinan ancaman bagi mengelak serangan siber.

Menurut Ketua Pasukan Penganalisis Symantec di Sydney, Paramvir Ahuja, pasukannya memeriksa lebih 21,500 kejadian yang boleh mengancam keselamatan sistem pelanggan setiap hari.

“Ia kemudian dikategorikan sama ada maklumat, amaran, kritikal atau kecemasan dan semua itu dilakukan dalam masa hanya beberapa minit,” katanya.

Menurut Pengarah Kanan Perkhidmatan Keselamatan Siber Symantec, Peter Sparkles, jika pasukan itu mendapati ia adalah ancaman, mereka akan menghubungi pelanggan memaklumkan kemungkinan serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 11:05 AM