GOH Chee Hoh. FOTO Arkib NSTP
GOH Chee Hoh. FOTO Arkib NSTP
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Trend Micro, penggiat global dalam keselamatan siber menggesa kerajaan sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman serangan siber ke atas infrastruktur negara yang boleh mendedahkan data sensitif dan maklumat peribadi.

Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia dan Nascent Countries, Goh Chee Hoh berkata, penting bagi agensi kerajaan untuk sentiasa berhati-hati dan memastikan semua saluran sensitif diawasi manakala sistem dan aplikasi dikemas kini dengan aspek keselamatan terkini.

"Langkah Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) mengeluarkan notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber baru-baru ini, membuktikan kepentingan untuk mengawasi dan menjaga data, infrastruktur dan sistem teknologi maklumat (IT) negara," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Trend Micro menyenaraikan beberapa amalan keselamatan terbaik termasuk memastikan semua perkakasan dan perisian dikemas kini dengan aspek keselamatan dan penggunaan kata laluan yang kukuh.

Organisasi juga perlu memastikan pekerja mereka dipersiap dengan amalan keselamatan siber terkini dan menggerakkan pelan luar jangka serta sokongan bagi meminimumkan kemungkinan kehilangan data dan maklumat lain.

Goh berkata, ancaman aktiviti pencerobohan sistem oleh kumpulan seperti Anonymous Malaysia baru-baru ini juga adalah cabaran terbesar bagi kalangan profesional terbabit dan memerlukan mereka sentiasa bersedia untuk dipanggil bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 9:29 AM