Manchester: Yaya Toure percaya Manchester City boleh memenangi semua baki perlawanan Liga Perdana sekali gus mempertahankan kejuaraan mereka.

Pasukan kendalian Manuel Pellegrini ketinggalan tujuh mata berbanding pendahulu Chelsea dengan baki 14 perlawanan dan mereka bertemu Stoke City di Stadium Britannia, awal pagi esok.

City gagal menang lima perlawanan terakhir, keputusan yang dilakar tanpa kehadrian Toure yang terpaksa menyertai Ivory Coast menghadapi cabaran Piala Negara Afrika.

Toure membantu negaranya memenangi pertandingan benua itu Ahad lalu menerusi kemenangan penentuan penalti ke atas Ghana pada final dan akan kembali ke Britain minggu ini.

Bagaimanapun, Pellegrini menyatakan mustahil buat Toure atau rakan senegaranya Wilfried Bony tampil beraksi menentang Stoke dan mereka hanya dijangka kembali beraksi pada Liga Perdana menentang Newcastle United pada 21 Februari ini.

Selepas kejayaan bersama negaranya, Toure, 31, sudah bersedia mengemudi kegemilangan kelabnya pula.

“Dengan penuh yakin, saya sedar bola sepak bukannya mengenai satu atau dua perlawanan, terutama dalam Liga Perdana,” katanya.

“Kami mempunyai 38 perlawanan dan jika mahu memenangi kejuaraan kami perlu menang semua perlawanan.

“Saya tahu ia sukar, tapi kini saya kembali dan akan melaksanakan tugas saya sekali lagi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 8:47 AM