Stoke-on-Trent, England: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini sekali lagi meminta James Milner menandatangani kontrak baru selepas dia menjaringkan gol ketika juara Liga Perdana itu menang 4-1 ke atas Stoke City.

Milner kini melakukan jaringan dua perlawanan berturut-turut, dengan Sergio Aguero menghadiahkan dua gol dan Samir Nasri turut mencatat nama sebagai penjaring membantu Cuty menewaskan Stoke buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun sekali gus kekal tujuh mata di belakang pendahulu Chelsea.

Penyokong City turut berteriak meminta Milner kekal selepas hujung musim ini dengan pemain England berusia 29 tahun itu masih belum menyatakan persetujuan terhadap kontrak baru.

“Apabila cuba menandatangani satu kontrak dan perlukan persetujuan kedua-dua pihak, mungkin itulah sebabnya tidak mudah untuk ia ditandatangani,” jelas Pellegrini selepas perlawanan di Stadium Britannia, awal pagi semalam.

“Namun saya ulang, paling penting kelab mahukan Milner kekal dan dia perlu memutuskan masa depannya.”

Milner membantu City kembali di depan dengan tandukan pada babak kedua selepas Aguero dan penyerang Stoke, Peter Crough menyumbat gol sebelum rehat.

Gol itu yang pertama buat Aguero dalam tujuh perlawanan selepas kecederaan lutut. Dia kemudian menambah satu lagi menerusi sepakan penalti, gol ke-21 buatnya musim ini, sebelum dikeluarkan kerana kecederaan belakang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:13 AM