ANTARA babak filem Isyarat Cinta.
ANTARA babak filem Isyarat Cinta.
ANTARA babak filem Isyarat Cinta.
ANTARA babak filem Isyarat Cinta.
ROSYAM dan Bade selaku penerbit dan pengarah.
ROSYAM dan Bade selaku penerbit dan pengarah.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor menyeru peminat dunia hiburan di negara ini supaya terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan memperuntukkan RM100 bagi menonton tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta pada 4 Mac depan.

Rosyam selaku penerbit bersama filem berkenaan berkata, dengan sumbangan itu, orang ramai bukan saja dapat menonton filem secara eksklusif sebaliknya wang itu dapat dijadikan sedekah untuk membantu mereka yang dilanda musibah.

“Saya benar-benar berharap semua pihak dapat menyokong usaha menjayakan tayangan amal ini kerana wang daripada kutipan itu dapat digunakan untuk tujuan kebajikan.

“Bukan saja dapat menonton filem secara eksklusif bersama barisan pelakonnya, tetapi mereka yang membuat sumbangan dapat juga beramal. Ia amat penting,” katanya.

Tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta ini akan diadakan di Cathay e-Curve, Damansara, Petaling Jaya jam 8 malam.

Ia adalah kerjasama antara syarikat produksi RK Screen dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Filem arahan Bade Hj Azmi itu membariskan pelakon terkenal seperti Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar. Ia menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 19 Mac ini.

Dalam pada itu, Rosyam berkata, pihaknya tidak akan mengambil satu sen pun hasil jualan tiket sebaliknya diserahkan kepada WHAM kerana sebahagiannya akan disalurkan kepada mangsa banjir serta rumah kebajikan terpilih.

Menurut Rosyam, walaupun keadaan banjir sudah pulih namun ketika ini mangsa banjir masih menderita dan sentiasa menantikan bantuan orang ramai khususnya mereka yang tinggal sehelai sepinggang berikutan rumah musnah dibawa arus.

“Kita jangan ingat mereka tidak memerlukan apa-apa pertolongan lagi. Mari kita sama-sama membantu dengan adanya program ini,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang membeli tiket bagi menyaksikan tayangan ini akan diberi peluang untuk beramah mesra dengan pelakon terbabit di mana satu sesi antara peminat dan pelakon turut dianjurkan.

“Program ini wajar mendapat sokongan orang ramai kerana ia dapat memperlihatkan kerjasama antara penggiat seni iaitu artis, wartawan hiburan dan penyokong dunia hiburan yang sama-sama memainkan peranan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan,” katanya yang yakin Isyarat Cinta bakal mendapat sambutan hangat kerana jalan ceritanya yang menarik selain memaparkan sebuah kisah cinta luar biasa.

Selain tiket bernilai RM100, turut dijual tiket untuk tempat duduk khas iaitu RM300, RM500 dan RM1,000.

Isyarat Cinta, mengisahkan perasaan cinta pasangan orang kelainan upaya (OKU) iaitu Iskandar (lakonan Adi Putra) yang cacat pendengaran dengan Dhia (Liyana Jasamy) yang buta.

Hubungan mereka terjalin ketika Iskandar cuba menyelamatkan Dhia dalam satu kemalangan. Ariel (Fizo Omar) bertindak sebagai orang tengah dalam menghubungkan kedua-dua mereka kerana masalah kecacatan yang mereka alami.

Namun, dalam masa sama Ariel turut menyimpan perasaan terhadap Dhia yang akhirnya menimbulkan konflik selepas itu.

Untuk tempahan tiket dan sebarang pertanyaan mengenai tayangan amal ini boleh hubungi 017-2429699 (Bohari) dan 012-2578884 (Amie).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:36 AM