Bahagian Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) 'menyita' lembu yang berkeliaran di taman perumahan serta kawasan komersial dekat Taman Laman Sendayan, Jalan Laman Sendayan Biz 2, di sini, kelmarin. FOTO IHSAN MBS.
Bahagian Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) 'menyita' lembu yang berkeliaran di taman perumahan serta kawasan komersial dekat Taman Laman Sendayan, Jalan Laman Sendayan Biz 2, di sini, kelmarin. FOTO IHSAN MBS.
Ahmad Hasbi


Seremban: Bela lembu, namun dibiarkan merayau sehingga masuk taman perumahan serta kawasan komersial dekat Taman Laman Sendayan, Jalan Laman Sendayan Biz 2, di sini.

Susulan itu, Bahagian Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kelmarin 'menyita' lembu berkeliaran itu yang membuatkan penduduk dan pekedai di kawasan berkenaan tidak berpuas hati.

Pengarah Jabatan Undang-undang dan Penguatkuasaan (JUUP) MBS Hanizam Ahmad berkata, tindakan penguatkuasaan itu susulan aduan orang awam menerusi Sistem Pengurusan Pengaduan Awam (SISPAA).

"Penduduk membuat aduan melalui SISPAA malah ada yang membuat hantaran di media sosial kerana tidak berpuas hati dengan kehadiran kumpulan lembu di kawasan mereka.

"Hasil operasi, kami menangkap seekor lembu jantan dewasa dan empat lembu betina dewasa. Ketika sitaan dilakukan, pemilik haiwan tiada di lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lembu yang ditangkap dihantar dan disimpan di Stor MBS dekat Kawasan Perindustrian Galla untuk tindakan lanjut.

"Satu laporan polis juga dibuat bagi mengelak sebarang aduan kelak," katanya.

Katanya, pemilik lembu didapati melanggar peraturan Undang-Undang Kecil Lembu Kerbau Majlis Perbandaran Seremban dan boleh dikenakan kompaun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:33 PM