CALIPH Buskers.
CALIPH Buskers.

Kesempatan ini Cik Pang nak ucap tahniah kepada Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) sebab berjaya mengumpul dana hampir RM200,000 melalui tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta serta Tabung Hati Ke Hati untuk mangsa banjir di seluruh Malaysia.

Inilah contoh terbaik persatuan yang bersatu hati dan mencapai tujuan murni, tak adalah asyik nak bertelingkah saja sampai Cik Pang pun kadangkala naik muak!

Cakap pasal kerja amal, Cik Pang dapat tahu tak lama lagi ada konsert Amal Mata Hati pada 28 Mac ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur yang akan dibarisi beberapa artis tempatan.

Antara yang terbabit, kumpulan muzik cacat penglihatan yang tengah popular, Caliph Buskers, Juara Anugerah Nasyid IKIM FM 2014 lalu, Daqmie, Ali XPDC, Usop Kopratasa, Andy Flop Poppy dan ramai lagi.

Kalau dilihat senarai artis mungkin tidak sepopular artis lain, tapi Cik Pang terpanggil untuk kongsi sebab niat murni penganjur yang kini mengumpul dana untuk Misi Bantuan Kemanusiaan di Bangladesh.

Misi ini akan dikelolakan Islamic Relief Malaysia (IRM) dan satu daripada misi mereka ialah menjalankan pembedahan katarak dan pemulihan mata untuk penduduk miskin di sana.

Sesiapa yang ingin beramal sambil berhibur mendengar lagu berunsur keagamaan, motivasi dan puisi boleh mendapatkan tiket konsert di Charity Shoppe Islamic Relief Malaysia, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:03 AM