KHAIRY (kanan) tak terfikir untuk kembali ke FAM. FOTO Bernama
KHAIRY (kanan) tak terfikir untuk kembali ke FAM. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya masih belum terlambat untuk pasukan kebangsaan kembali menyinar pada masa akan datang.

Khairy berkata, skuad kebangsaan boleh kembali menjadi antara yang terhebat di rantau ini apabila pasukan itu mempunyai urustadbir lebih mantap bagi memastikan perkembangan itu dapat diteruskan untuk jangka masa panjang.

"Apabila kita ada pengurusan, kepemimpinan dan visi yang baik, pelaksanaan yang baik, maka saya percaya dan yakin kita akan dapat lihat peningkatan dari segi prestasi skuad kebangsaan.

"Kita ada harapan yang bagus cuma kita nak kena ada pengurusan yang boleh membawa visi dan melaksanakan visi itu.

"Saya harapkan akan ada orang yang boleh menawarkan diri sebagai calonlah (Presiden FAM)," katanya.

Terdahulu, meskipun timbul ura-ura yang mengaitkan Khairy mengisi kerusi Presiden FAM yang ketika ini disandang Datuk Hamidin Mohd Amin namun dia menepis dakwaan itu dengan menegaskan dia bukanlah calon yang sesuai.

Jelasnya, dia tidak pernah berfikir untuk kembali ke FAM apatah lagi tugas sebagai 'orang nombor satu' FAM itu memerlukan komitmen yang begitu tinggi.

"Sekarang saya pun tak terfikir untuk kembali ke FAM dan saya rasa ada calon yang lebih layak untuk menerajui FAM.

Presiden FAM adalah satu peranan yang agak hands on walaupun tugas harian dilaksanakan Setiausaha Agung.

"Tetapi Presiden FAM mungkin perlu terbabit dengan pengurusan harian di FAM dan mungkin saya tiada masa untuk ambil peranan di FAM kerana saya seorang yang hands on kalau buat kerja.

"Jadi saya rasa tidak adil untuk saya kalau nak cuba nasib dalam pemilihan FAM akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:32 PM