TAYANGAN amal perdana filem Isyarat Cinta berjaya kutip dana RM100,000.
TAYANGAN amal perdana filem Isyarat Cinta berjaya kutip dana RM100,000.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Perancangan selama dua bulan Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) mengadakan tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta dengan kerjasama RK Screen berbaloi apabila menerima respons baik daripada pelbagai pihak.

Sasaran kutipan dana RM100,000 berjaya dicapai menerusi syarikat korporat, badan kerajaan, penggiat seni, individu serta peminat yang membeli tiket pada majlis yang diadakan di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Antara yang memberi sumbangan ialah Airish Fashion Cosmetic sebanyak RM30,000, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) (RM20,000) dan Kementerian Komunikasi & Multimedia (RM10,000).

Turut menderma A Aida Production, Zeel Production, Pencil Pictures, Skop Production, Enuja Production, MIG Pictures, TV3, Hot FM, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Hot Perfumes Air-Fresheners & Industries Sdn Bhd, Perdasama Muda Nasional dan Dewan Keusahawanan Bersatu Malaysia (DBKM).

Artis-artis yang menyumbang secara peribadi ialah Datuk Aznil Nawawi, Aaron Aziz, Amy Mastura dan Elveena Iris.

Antara yang hadir ialah Pengerusi NAFAS Datuk Seri Shaipolbahari Shuib; Ketua Pegawai Eksekutif Airish Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Setiausaha Akhbar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ruhaidini Abd Kadir.

Penggiat seni pula terdiri daripada Presiden KARYAWAN Datuk Freddie Fernandez, Datuk Yusof Haslam, David Teo, A Aida, Zainuddin Ismail, Aznil, Elveena, Eddie Hamid, Sabhi Saddi, Farahdhiya, Ammar Alfian dan ramai lagi.

Presiden WHAM Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, dia bersyukur kerana projek sulung WHAM mendapat sambutan baik semua pihak.

“Kami pernah bekerjasama dengan beberapa artis seperti Zul Yahya, Azza dan Siti Fazurina untuk program Tabung Hati Ke Hati bagi membantu mangsa banjir sebelum ini khususnya pantai timur.

“Kami juga akan menyumbang kepada rumah tahfiz terpilih. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang me­nyokong program ini. Semoga kemurahan hati penerbitnya dibalas dengan kutipan box office apabila filem ini ditayangkan pada 19 Mac ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shaipolbahari berkata, beliau menerima pelawaan WHAM kerana melihat Isyarat Cinta sebuah filem yang sarat dengan tema kemasyarakatan.

“Perjuangan orang buta dan bisu untuk hidup seperti orang normal yang lain ditonjolkan dengan jayanya dalam filem hebat ini. Ia satu kisah yang memberi inspirasi kepada semua apabila seorang yang bisu digambarkan sebagai seorang lelaki yang kaya dan berjaya,” katanya.

Sementara itu Yusof Haslam mengakui sejak awal lagi filem Isyarat Cinta mempunyai potensi untuk mendapat sambutan yang baik.

“Filemnya tak kosong, ada cerita, sentuhan dan aura tersendiri. Lakonan pelakon-pelakonnya juga baik. Jarang tiga nama besar iaitu Liyana Jasmay, Adiputra dan Fizo diganding­kan dalam satu filem.

“Dalam suasana filem Melayu yang merosot sekarang, kami mengharapkan filem ini dapat respon yang baik dari peminat untuk semarakkan semula industri filem kita,” katanya.

Isyarat Cinta diarahkan pengarah terkenal Bade Haji Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 10:20 AM