LIYANA berganding dengan Adi Putra dan Fizo Omar dalam Isyarat Cinta.
LIYANA berganding dengan Adi Putra dan Fizo Omar dalam Isyarat Cinta.
Oleh Shakilawati Abd Rahman


Semenjak bergelar isteri dan ibu kelibat pelakon popular Liyana Jasmay, 27, semakin jarang kelihatan sekali gus membuatkan ramai menantikan kemunculannya di layar lebar serta kaca televisyen.

Bakal mengubat kerinduan peminat menerusi filem Isyarat Cinta, Liyana buat pertama kalinya berganding dengan Adi Putra dan Fizo Omar.

Lebih menarik, dalam filem terbitan RK Screen, Liyana melakonkan watak gadis buta yang menuntut dia melakukan banyak penyelidikan termasuk turun padang menyaksikan kehidupan orang buta di sekitar ibu kota dan mempelajari sistem Braille.

Katanya, agak lama tidak ada filem cinta agung yang tebal nilai Melayu yang tidak dapat lari daripada adat, budaya serta hutang budi.

“Isyarat Cinta mengisi kekosongan itu. Gandingan kali ini juga bukan tipikal yang selalu kita lihat di pawagam. Ini kerjasama pertama saya dengan Adi serta Fizo dan kelainan itu mungkin dapat menarik orang ramai ke panggung,” katanya.

Berkongsi pengalaman menjayakan watak gadis buta, Liyana berkata ia cabaran baru dan perlu banyak berlatih termasuklah membiasakan diri dengan ruang set penggambaran agar setiap pergerakannya tampak realistik dalam kamera.

“Apabila sudah lama tidak beraksi, pasti harapan yang diletakkan peminat tinggi dan sebagai pelakon saya berharap apa yang disampaikan dalam filem ini melekat di jiwa mereka. Kalau penonton dapat rasa apa yang saya rasa, lakonan itu menjadi.

“Sebelum penggambaran bermula, saya banyak menonton filem cinta dan belajar sistem Braille di Youtube dan meninjau di sekitar Kuala Lumpur untuk melihat serta memahami kehidupan orang buta.

“Kalau tanya orang, macam-macam jawapan kita akan terima. Jadi pemerhatian sendiri itu sangat penting bagi saya.

“Ketika berlakon pula mata kena pandang satu arah dan saya kenalah fokus. Nak kata susah sangat tidaklah cuma pengalaman pertama kenalah lebih teliti,” katanya.

Kehadiran ramai bintang baru tidak merisaukan Liyana kerana baginya semakin ramai pelakon lebih meriahlah industri. Perkembangan itu harus dilihat dari sudut positif dan pelakon berpengalaman sepertinya tidak perlu rasa tergugat.

“Semakin lama kita berada dalam bidang ini, lakonan kita akan semakin matang dan bagus. Saya sudah berguru dengan ramai orang dan itulah apa yang saya faham apabila bercakap soal lakonan.

“Tak perlu risau dengan kehadiran pelakon baru kerana rezeki dalam bidang ini luas. Tiada apa lagi yang saya mahu kejar, gelaran pelakon terbaik sudah saya raih.

“Fokus sekarang mahu jadi lebih matang dan bagus. Kalau boleh saya mahu ikut jejak Datuk Rosyam Nor yang bukan saja disegani sebagai pelakon tetapi juga penerbit berjaya.

“Kalau selalu sangat muka keluar TV, apabila muncul dalam filem bimbang nanti tiada banyak beza dan kerana itu saya putuskan untuk lebih memilih.

“Biar jarang muncul tetapi apabila ada produk baru, impaknya melekat di hati peminat. Itu yang kita mahu,” katanya.

Isyarat Cinta arahan Bade Azmi mengisahkan percintaan pemuda bisu dan pekak dengan gadis buta.

Bagaimanapun, sukar bagi pemuda itu untuk meluahkan isi hati hingga memerlukan orang ketiga untuk menyampaikan isyarat cintanya.

Sebagai promosi awal, lagu runut bunyi filem ini, Tak Harus Memiliki dendangan Tomok dilancarkan di Restoran Rebung, Bangsar. Menjelang tayangannya pada 19 Mac ini, Liyana juga sibuk dengan promosi filem ini.

Antaranya promosi untuk tayangan amal perdana filem ini pada 4 Mac nanti dan peminat Liyana berpeluang menyaksikan filem ini terlebih dahulu melalui tayangan ini.

Tiket untuk tayangan amal yang juga kerjasama RK Screen dengan Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dijual antara RM100 hingga RM1,000.

Pemilik syarikat produksi Mermaid Studios ini turut rancak merancang kariernya sebagai penerbit dan juga pengarah. Menjadikan filem pendek berdurasi 10 minit, Jerat lakonan Nabila Huda dan Zulhuzaimy sebagai medan latihan, Liyana semakin yakin untuk duduk di kerusi pengarah.

Tahun ini, dia akan menghasilkan lebih banyak filem pendek dan apabila sudah bersedia dia akan mengarah filem pula.

“Jerat saya buat untuk festival di Amerika Syarikat tahun lepas. Selepas ini dua bulan sekali saya mengarah filem pendek.

“Pada April nanti, Mermaid Studios akan menerbitkan filem Bella dan Jamie di mana saya akan melakonkan watak Jamie. Empat bulan kemudian, akan ada satu lagi filem dan judulnya masih dalam pertimbangan.

“Anak saya sudah berusia 9 bulan dan dia sudah faham apabila saya mahu keluar bekerja. Setakat ini dia okay, jadi tak risau sangat apabila perlu berulang alik ke lokasi pengambaran nanti,” katanya.

Mengintai perkembangan lain, Liyana kini giat menyusun strategi pemasaran bisnes tudung di bawah label Mermaid Luxe yang diusahakan bersama kakaknya, Adrianna Jasmay.

Label berkenaan semakin mendapat tempat apabila adik beradik ini kerap menyertai bazar yang dianjurkan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:08 AM