TIGA pelakon popular (kiri) Fizo, Liyana dan Adi turut terbabit dalam perniagaan.
TIGA pelakon popular (kiri) Fizo, Liyana dan Adi turut terbabit dalam perniagaan.
Oleh Ardini Sophia Sina


Memiliki nama yang kukuh dalam kerjaya seni dan keluarga bahagia, tentu tawaran berlakon bukan sesuatu yang dinanti dan diharapkan tiga pelakon popular - Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar. Tambah pula mereka kini turut membabitkan diri dalam perniagaan sebagai jaminan masa depan.

Bagaimanapun, darah seni yang mengalir dalam diri membuatkan mereka tidak mampu melupakan atau meninggalkan terus kerjaya lakonan.

Bersikap selektif dengan mengutamakan skrip yang baik atau bekerja dengan pengarah yang bagus antara kriteria yang menarik mereka untuk ke lokasi.

Perkara itu diakui tiga pelakon ini apabila ditawarkan berlakon Isyarat Cinta terbitan RK Screen milik Datuk Rosyam Nor. Naskhah yang ditulis dan diarahkan Bade Azmi ini disifatkan karya menarik kerana tidak ramai produser berminat dengan genre drama.

Adi yang menyepi seketika dilayar perak selepas Aku Terima Nikahnya, melihat watak Iskandar yang diserahkan kepadanya sesuatu yang menarik dan memberi kelainan dengan kisah unik percintaan orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, dia membawa watak lelaki yang memiliki harta dan wajah kacak tetapi terpaksa menerima dugaan hidup kerana pekak dan bisu.

“Selepas dimaklumkan mengenai karakter yang akan dibawa, saya terus melakukan penyelidikan dan cuba belajar bahasa isyarat.

“Kami beruntung kerana ada pakar bahasa isyarat datang ke lokasi bagi memastikan setiap isyarat yang kami gunakan adalah betul.

“Perkara seperti itu bukan mudah direalisasikan dan saya tidak nafikan karakter Iskandar antara watak mencabar yang saya lakonkan. Saya yakin kelainan yang ditonjolkan dalam filem ini mampu menarik penonton,” katanya.

Pelakon kelahiran Singapura dan mula dikenali melalui drama bersiri Mya Zara pada 2006 akui kebanyakan cerita cinta masa ini adalah hasil adaptasi novel, tetapi Isyarat Cinta adalah satu kisah yang segar.

“Memang biasa kita lihat filem atau drama diadaptasi dari novel pada masa kini, tetapi Isyarat Cinta adalah karya Bade yang memaparkan satu kisah segar.

“Selain jalan cerita, daya tarikan lain ialah gandingan teraju utamanya. Saya rasa seperti menerima satu penghargaan apabila Rosyam menggandingkan kami bertiga dalam filem ini.

“Rugi kalau tidak menonton filem ini kerana ia kisah cinta kelainan upaya yang pertama di layar perak,” katanya.

Sibuk mengurus syarikat Menara Rezeki berkaitan pembinaan dan Menara Hadid Holiday (fokus dalam agensi umrah), Adi akui Isyarat Cinta istimewa selepas lama tidak muncul di layar perak.

Bagi Liyana, Isyarat Cinta sungguh istimewa kerana lakonan pertamanya di layar perak selepas bergelar ibu. Watak Dhia yang diberi kepadanya memang mencabar dan menarik kerana menjadi gadis buta.

“Saya banyak menonton filem dan membaca buku mengenai orang buta sebagai persiapan. Memang mencabar tapi 20 hari membawakan watak itu, lama-kelamaan ia sebati dengan diri saya.

“Dhia buta disebabkan kemalangan tetapi mempunyai deria sentuh, dengar serta bau yang tinggi. Saya cuma perlu mengawal pandangan mata supaya tetap melihat pada satu arah.

“Selain menonton filem dan pembacaan, saya perhatikan bagaimana golongan orang buta menggunakan deria lain dalam menjalani kehidupan harian mereka,” katanya.

Pemilik syarikat penerbitan Mermaid Studio dan mula berlakon sejak kecil, Liyana juga mempunyai pandangan tersendiri apabila semakin ramai penonton masa kini berpandangan skeptikal terhadap filem tempatan.

Katanya, apabila terlalu banyak filem kurang berkualiti disajikan, penonton turut memberi pendapat sama terhadap filem lain yang bakal ditayangkan.

“Bagi saya, pemikiran seperti itu tidak dapat dihalang kerana masing-masing mempunyai pendapat. Kita tidak boleh memaksa orang untuk menyukai karya kita.

“Setiap filem yang dihasilkan akan berdepan perkara seperti ini dan pembikin harus bersedia menerima segala kemungkinan dan maklum balas.

“Kita tidak boleh salahkan penonton, mungkin filem yang mereka tonton sememangnya kurang berkualiti. Kita juga tidak boleh menghalang pembikin filem untuk menghasilkan karya mereka. Kita mahu menghasilkan sesuatu yang baik untuk penonton. Tidak boleh jadi pengecut.

“Sebab itu saya tetap hasilkan filem walaupun dalam keadaan industri sekarang ini. Kita harus mengambil pendapat orang lain terhadap filem yang dihasilkan. Penghasil filem tidak boleh mengambil lang­kah mempertahankan diri dan kita perlu bersifat terbuka,” katanya.

Berbanding Adi dan Liyana, Fizo Omar disifatkan masih baru dalam lakonan. Malah, Fizo akui kali pertama bekerjasama dengan mereka dan juga pengarahnya.

Sibuk dengan perniagaan dan memenuhi jemputan untuk memberi ceramah motivasi, situasi itu membuatkan anak seni kelahiran Kelantan itu terpaksa memilih tawaran.

Mementingkan kualiti, Fizo, 29, berkata, adalah satu penghormatan buat dirinya apabila berpeluang berlakon dalam filem arahan Bade dan digandingkan dengan dua pelakon hebat.

Fizo menyifatkan filem ini antara karya terbaik pernah dilakonkannya. Memegang watak Aril, Fizo menjelaskan, dia tidak banyak menggunakan gerak isyarat kerana Iskandar mempunyai kelebihan membaca gerak bibir.

“Saya berharap Isyarat Cinta mampu mengekalkan nama saya di persada seni. Memang sekarang karier seni saya perlahan dan lama juga tidak ada lakonan saya ditayangkan. Saya anggap filem ini sebagai pemacu nama saya dalam industri,” katanya.

Kata Fizo, disebabkan jadualnya terlalu padat dan harus menguruskan perniagaan, dia lebih fokus kepada kerjaya pengacaraan.

Hos Pencetus Ummah masuk tahun keempat dan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) ini akui banyak menghadiri bengkel keusahawanan dan bercadang melanjutkan pelajaran dalam sarjana bidang perniagaan pada September depan.

“Saya sendiri mengadakan seminar keusahawanan. Sebab itu saya tidak boleh menerima tawaran berlakon yang memerlukan penggambaran dalam tempoh lama,” katanya.

Berkahwin dengan Mawar Abdul Karim pada 10 November 2013, Fizo yang juga mengusahakan perniagaan Hot Burger tidak bercadang meninggalkan lakonan kerana ia adalah jiwanya.

Dia juga ada perancangan untuk menerbitkan program, tetapi bukan dalam masa terdekat.

Isyarat Cinta yang bakal berada di pawagam pada 19 Mac ini, ditayangkan kepada umum terlebih dulu untuk tayangan amal perdana anjuran Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama RK Screen dan Suhan Movies Trading pada 4 Mac lalu.

Tayangan amal bertujuan mengumpul dana WHAM dan juga disalurkan ke Tabung Hati Ke Hati bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa negeri akhir tahun lalu, berjaya mengumpul lebih RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:07 AM