BADRUL Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard. FOTO arkib NSTP
BADRUL Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard. FOTO arkib NSTP

Raja Noraina Raja Rahim

[email protected]

Kuala Lumpur: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Chegu Bard direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya mengenai isu pembinaan kasino di Forest City, Johor.

Perintah reman terhadap Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin yang bermula hari ini sehingga esok itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis sudah membuka kertas siasatan dan menahannya semalam, berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta membabitkan Yang di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan.

"Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awal serta menggugat keharmonian negara.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Chegu Bard ditahan polis malam tadi, dipercayai berhubung kenyataannya mengenai kasino di Forest City yang dilaporkan Bloomberg.

Perkara itu disahkan Peguambela dan Peguamcara, Rafique Rashid yang berkata, anak guamnya kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:29 PM